Doktor, jururawat antara yang ditangkap jual organ di Mesir


Mesir adalah lima negara utama dunia yang mempunyai sindiket pemerdagangan organ manusia mensasarkan rakyat miskin yang terdesak. – Gambar EPA, 23 Ogos, 2017.

PIHAK berkuasa Mesir menahan 12 orang termasuk doktor dan jururawat disyaki terlibat dalam “kumpulan besar penjenayah yang memperdagagangkan organ manusia”, kata Kementerian Dalam Negeri semalam.

Ratusan rakyat Mesir yang miskin menjual buah pinggang dan hati mereka setiap tahun bagi membolehkan mereka membeli makanan atau membayar hutang, menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kumpulan itu “bersetuju dengan rakyat Mesir untuk memindahkan organ mereka kepada pesakit asing dengan tukaran wang tunai, mengeksploitasikan keperluan kewangan mereka yang terdesak,” kata kementerian.

Antara yang ditahan termasuklah tiga orang doktor, empat jururawat, tiga pekerja am hospital dan dua orang ejen.

Ada yang ditahan ketika “menjalankan pembedahan mengambila buah pinggang dan sebahagian hati mangsa di hospital swasta”, kata kenyataan itu.

Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) pada 2010 meletakkan Mesir antara lima buah negara utama dunia terlibat dalam pemerdagagangan organ haram.

Parlimen Mesir awal tahun ini meluluskan undang-undang mengharamkan perdagangan organ secara komersial.

Undang-undang bertujuan untuk mengawal selia pemindahan organ dan menyekat perdagangan organ haram.

Pada 2012, ketua agensi pelarian PBB ketika itu, Antonio Guterres memberi amaran yang imigran di Semenanjung Sinai, Mesir dibunuh untuk mendapatkan organ mereka.

Pihak berkuasa pada Disember lalu menangkap 25 orang termasuk doktor dan profesor universiti disyaki terlibat dalam sindiket pemerdagangan organ manusia. – AFP, 23 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen