TENTERA Lubnan berkata pihaknya berjaya menawan sebahagian besar kawasan pergunungan bersempadan Syria dalam operasi untuk menghapuskan militan IS daripada wilayah itu.
Pihak tentera memulakan kempen serangan di Jurud Ras Baalbek dan Jurud al-Qaa di timur sempadan Lubnan pada Sabtu, menawan lebih dua pertiga daripada 120 kilometer persegi yang ditawan militan IS.
“Kami berjaya menawan 20 kilometer persegi, jadi ada lagi 20 kilometer persegi untuk ditawan,” kata jurucakap tentera Brigedier Jeneral Ali Qanso.
Dia bagaimanapun enggan menyatakan berapa lama lagi masa yang akan diambil untuk pihak tentera menamatkan operasi itu.
Empat tentera Lubnan terbunuh sejak kempen itu bermula, termasuk seroang pada Selasa apabila periuk api meletup di bawah kenderaan yang dinaikinya.
Tiag lagi terbunuh selepas kenderaan yang dinaiki melalui kawasan periuk api pada hujung minggu lalu.
Pada sidang media, Qanso turut menunjukkan gambar senjata, peluru dan periuk api milik IS yang ditemui ketika pertempuran, juga rangkaian terowong yang digunakan kumpulan militan itu.
Pihak tentera menganggarkan sekitar 600 anggota militan berada di kawasan timur sempadan yang sering mengancam keselamatan.
Pada 2014, mereka menawan sempadan pekan Arsal, dan menawan 30 anggota tentera dan polis Lubnan. – AFP, 22 Ogos, 2017.
Komen