Bersatu tak akan masuk Sabah, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Bagaimanapun, kami terbuka kepada sesiapa yang mahu sertai Bersatu, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Disember, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad kembali menegaskan yang partinya, Bersatu tidak akan membuka cawangan di Sabah selepas beberapa wakil rakyat dari negeri itu keluar Umno Sabah minggu lepas.

“Bagaimanapun, kami terbuka kepada sesiapa yang mahu sertai parti (Bersatu),” katanya kepada wartawan di Cyberjaya hari ini.

Minggu lepas, empat ahli Parlimen, sembilan Adun, dua senator dan 21 ketua bahagian Umno Sabah mengumumkan keluar parti.

Tindakan mereka mencetuskan spekulasi yang Bersatu akan menubuhkan cawangan di Sabah.

Bekas ketua perhubungan Umno Sabah Hajiji Mohd Noor yang kini jadi ketua kumpulan yang meninggalkan parti Melayu itu berkata, mereka membawa bersama separuh ahli Umno di Sabah keluar bersama.

Keputusan ahli Parlimen itu untuk keluar Umno mengurangkan jumlah kerusi Parlimen milik parti itu kepada hanya 37 kerusi dan seorang Adun Umno di DUN Sabah.

Hajiji juga menyatakan kesetiaan kepada kerajaan Pakatan Harapan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad serta kerajaan Sabah yang diterajui Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal daripada Warisan.

Empat ahli Parlimen yang keluar Umno di Sabah ialah Abd Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran). 

Manakala 11 Adun Sabah yang keluar Umno ialah Masidi Manjun (Karanaan), Rahim Ismail (Pantai Manis), Japlin Akim (Usukan), Mohd Ariffin Mohd Arif (Membakut), Jamli (Tampasuk), Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Isnin Aliasnih (Klias), Jusli Ajirul (Gum-Gum), Musbah Jamli (Tampasuk) dan Ghulam Bahadar Khan (Kawang). – 17 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen