Mungkinkah katak-katak Umno sokong Anwar sebagai PM?


Izmil Amri

Persoalan utama sekarang, adakah wakil rakyat lompat parti akan terus menyokong persetujuan Anwar Ibrahim ganti Dr Mahathir Mohamad? – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2018.

SEBENARNYA persoalan yang harus ditanya kepada orang Umno yang baru membuat keputusan untuk meninggalkan kapal yang sedang karam adalah adakah mereka akan turut menyatakan taat setia kepada bakal perdana menteri kelapan, Anwar Ibrahim.

Antara bacaan politik yang sedang giat berlegar sekarang ialah Dr Mahathir Mohamad menerima para “katak Umno” untuk menghalang kemaraan Anwar daripada ditabalkan sebagai penggantinya selepas dua tahun seperti yang dipersetujui pimpinan parti-parti komponen Pakatan Harapan.

Sukar untuk tidak memberi pertimbangan berat dan serius kepada bacaan ini. Apatah lagi dalam keadaan landskap politik Malaysia kini sudah tidak lagi seperti dahulu.

Dahulu, politik takhta perdana menteri hanya persoalan yang layak diputuskan oleh perwakilan Umno di perhimpunan agungnya sahaja.

Dahulu, presiden Umno lah yang jadi perdana menteri.

Yang menentukan siapa jadi presiden Umno, adalah perwakilan Umno. Yang menentukan siapa jadi perwakilan, adalah ketua-ketua bahagian. Maka hanya Umno yang berhak menentukan siapa jadi perdana menteri.

Sekarang tidak lagi. Keputusan siapa jadi perdana menteri diputuskan secara syura dalam majlis pimpinan PH. Justeru Pengerusi Bersatu Dr Mahathir dipersetujui bersama sebagai perdana menteri, meski mempunyai bilangan kerusi yang kecil di Parlimen.

Majlis pimpinan yang sama juga turut telah bersetuju bahawa Dr Mahathir akan nanti diganti oleh Presiden PKR Anwar. Keputusan itu dimasukkan dalam manifesto PH, dan dijaja serata alam buana sebagai modal meraih sokongan mereka yang menyokong Anwar sebagai perdana menteri sejak zaman-berzaman.

Namun keputusan majlis pimpinan bukanlah mekanisme sah dalam menentukan siapa yang menjadi perdana menteri.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa yang menjadi perdana menteri ialah ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat. Orang itulah yang akan dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan.

Maknanya, kalau Anwar dibuktikan tidak menikmati sokongan majoriti blok kerajaan; maka tidaklah Anwar menjadi perdana menteri.

Justeru menurut beberapa konspirator, inilah sebenarnya yang sedang dilakukan Dr Mahathir dengan menerima seberapa ramai ahli Parlimen Umno menyertai partinya, tanpa mengira apa pun sebenarnya peranan mereka itu dalam rejim Malaysia Lama.

Selanjutnya lagi, kata para konspirator ini; ada pula upaya dari kalangan pimpinan Umno yang sedang bertelagah untuk menyusun sebahagian pimpinannya masuk PKR, bagi menggagalkan rancangan Dr Mahathir itu.

Mereka ini barangkali berpandangan lebih jauh. Buat apa memberi taat setia kepada perdana menteri dengan tarikh luput. Lebih baik sokong bakal perdana menteri yang akan menaiki takhta tidak berapa lama sahaja lagi.

Maka persoalan yang sewajarnya ditanyakan sekarang adalah:

Adakah katak-katak yang sedang gigih melompat meninggalkan kapal Umno yang sedang karam hanya menumpahkan taat setia kepada Dr Mahathir semata-mata, atau bersedia menyambung ikrar tersebut kepada PM menunggu, Anwar.

Tidak sekadar agenda penambahbaikan institusi, reformasi dasar dan agenda besar yang telah digariskan manifesto PH sebagai “document of destiny” Malaysia Baharu.

Semua yang mahu meninggalkan parti lama kerana tidak semenggah jadi pembangkang seharusnya disamak habis-habisan, dan dipastikan benar-benar bersetuju dengan janji yang melibatkan nama Anwar itu.

Agak-agak berani tidak katak-katak ini semua menyatakan ikrar taat setia kepada bakal perdana menteri yang sudah diputuskan Majlis Presiden PH?

Kita tunggu dan lihat. – 17 Disember, 2018.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen