42 orang awam terbunuh dalam serangan udara di Raqa


Serangan udara yang menyasarkan militan IS di Syria menyebabkan puluhan nyawa orang awam terkorban.– Gambar EPA, 22 Ogos, 2017.

SEKURANG-kurangnya 42 orang awam terbunuh dalam serangan udara yang diketuai Amerika Syarikat di wilayah militan IS di bandar Raqa, Syria, kata pemerhati.

19 belas kanak-kanak dan 12 wanita antara yang terbunuh dalam serangan itu, yang menjejaskan beberapa kawasan di utara bandar berkenaan, kata kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria kepada AFP.

Jumlah kematian mencatatkan peningkatan pada hari kedua serangan  ke atas Raqa, di mana separuh daripada bandar itu sudah ditawan pasukan pejuang demokratik Syria yang disokong AS untuk menentang IS.

Angka terbaru dalam serangan pada Isnin menyebabkan 167 kematian orang awam dalam serangan yang bermula sejak 14 Ogos lalu, selepas kumpulan pemerhati itu menyatakan sekurang-kurangnya 27 orang terkorban pada Ahad.

“Angka kematian itu tinggi kerana serangan terbabit mengenai kawasan kejiranan di tengah bandar itu yang padat dengan penduduk,” kata pengarah kumpulan pemerhati itu Rami Abdel Rahman.

“Terdapat bangunan dipenuhi orang awam yang cuba melarikan diri daripada serangan itu.

“Serangan itu menyasarkan mana-mana bangunan di mana terdapat pergerakan militan IS,” katanya kepada AFP.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan lebih 25,000 orang awam terperangkap di bandar berkenaan, dengan kekurangan bekalan makanan dan bahan api. – AFP, 22 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen