PERWAKILAN Amanah Setiawangsa Asma Alif hari ini mencadangkan kerajaan menetapkan had kepada keistimewaan Melayu bagi membolehkan setiap kaum bersaing secara sihat.
Membahaskan usul Islam rahmat untuk sekalian alam, Asma berkata, keistimewaan Melayu yang dilaung-laungkan hari ini perlu diberikan had dari segi masa atau peluang yang diberikan kepada komuniti itu.
“Saya di sini ingin mencadangkan kepada kerajaan, supaya hak keistimewaan orang Melayu ini diletakkan hadnya.
“Sama ada had dari segi peluang atau masanya, apabila ada hadnya, Cina atau India boleh naik bersama-sama,” kata Asma, ketika Konvensyen Nasional Amanah 2018, di Ipoh.
Amanah kawasan Pulai membawa usul menggesa agenda rahmatan lil alamin dijadikan agenda negara.
Usul berkenaan bagaimanapun diterima majoriti perwakilan walaupun ditolak oleh beberapa pembahas, kerana melihat ia tidak sesuai dilaksanakan.
Daripada 12 pembahas, seramai lapan pembahas menyokong dengan empat pembahas menolak usul tersebut.
Semalam dalam ucapan dasarnya, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, orang Melayu tidak boleh membina kekuatan mereka dengan sentimen kaum dan agama semata-mata kerana ia akan meruntuhkan negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Mohamad berkata, orang Melayu juga mesti sedar mereka gagal kerana diri sendiri, bukannya disebabkan adanya bangsa lain di negara ini.
“Saya ingin mengingatkan umat Melayu sekiranya sikap orang Melayu masih bertumpu kepada soal perjuangan membina kekuatan Melayu berteraskan kepada sentimen kaum dan agama.
“Maka itu semua hanya membawa orang Melayu hanyut dalam emosi dan diseret mengikut kepentingan politik kelompok tertentu di kalangan pemimpin Melayu dan Islam yang tindak bertanggungjawab,” katanya. – 15 Disember, 2018.
Komen