Antara patriot dan pencacai politik


The Malaysian Insight

Hamzah Zainudin yang sekarang menonjolkan diri sebagai seorang yang patriotik dan bersemangat kebangsaan, karier politiknya tercemar dengan kontroversi. Sehingga minggu ini, beliau adalah penyokong kuat Najib Razak dan antara ahli Parlimen Umno yang kasar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2018.

HAMZAH Zainudin pandai berdolak-dalik.

Cakapnya bunyi macam tidak mementingkan diri, patriotik dan bersemangat kebangsaan – semuanya terbungkus rapi dalam satu pakej.

Baca saja kenyataannya menjelaskan kenapa 36 ahli Parlimen Barisan Nasional menandatangani ikrar menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau memberitahu Berita Harian: “(Seramai) 33 Ahli Parlimen Umno, satu PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan dua MIC tandatangan sokongan kepada PM (perdana menteri). Keputusan ini bukan buat sehari dua, tetapi sudah hampir sebulan yang lalu.

“Kumpulan yang tandatangan ini ikhlas mahu pastikan kestabilan kerajaan sekarang dalam memastikan tidak ada pihak gunakan parlimen untuk jatuhkan PM sebab kita ada dengar ura-ura.

“Kita beri sokongan kepada PM untuk memastikan kestabilan politik. Kita tidak mahu ada unsur-unsur perpecahan sehingga rakyat keliru. Inikan pula pelabur luar kerana bila pelabur lihat politik tidak stabil…mereka tidak mahu melabur dalam negara ini.

“Jika tidak, politik tidak stabil menyebabkan kesan lebih besar kepada semua terutama rakyat. Itu sebab kita mahu bagi kestabilan dan kita menyokong PM untuk meneruskan kepemimpinannya. Semua ini demi kepentingan negara, rakyat supaya kita dilihat sebagai sebuah negara yang ada masa depan.”

Kenyataan itu akan lebih bermakna kalau diucapkan oleh jiran sebelah rumah kita.

Tetapi Hamzah, yang sekarang menonjolkan diri sebagai seorang yang patriotik dan bersemangat kebangsaan, karier politiknya tercemar dengan kontroversi. Sehingga minggu ini, beliau adalah penyokong kuat Najib Razak dan antara ahli Parlimen Umno yang kasar.

Tidak berapa lama dulu, beliau adalah pengerusi Felcra, agensi pemulihan tanah persekutuan yang sesungguhnya sangat perlu dipulihkan kerana dakwaan salah pengurusan sejak bertahun-tahun.

Pada 2004, ketua pembangkang pada masa itu, Lim Kit Siang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat punca kekayaan Hamzah selepas mahkamah syariah memerintahkan ahli Parlimen Larut itu membayar tuntutan cerai isteri pertamanya sebanyak RM11.2 juta.

Hamzah pernah mencuri tumpuan pada 1999 apabila mendakwa Anwar Ibrahim cuba memikat isterinya. Dakwaan itu jadi antara alasan keputusan Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan Anwar tidak layak memegang jawatan politik.

Anwar bertegas tuduhan itu sebahagian daripada konspirasi untuk membunuh karier politiknya.

Jangan tersilap. Hamzah mahu melindungi dirinya sendiri. Suatu masa dulu, beliau orang Mahathir, kemudian dekat pula dengan Abdullah Ahmad Badawi dan selepas itu bertenggek pada Najib. Beliau keluar Umno semalam tetapi masih merujuk pada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai ketuanya.

Dalam beberapa hari terdekat, lebih ramai lagi pemimpin Umno akan menghamburkan halwa telinga.

Mereka akan buat apa saja untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa mereka keluar Umno demi kebaikan pengundi dan demi kepentingan negara.

Tetapi mereka tidak ubah seperti pencacai politik. 

Kalau mereka lari dari Umno, itu kerana mereka tahu parti yang dulu memberikan kontrak lumayan dan naungan ikut kehendak mereka sudah tidak lagi berguna.

Kalau mereka berebut hendak masuk Bersatu atau PKR, itu kerana mereka mencari perlindungan daripada siasatan dan pendakwaan.

Mereka bukan patriot.

Mereka hanya pencacai politik. – 15 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen