TALIBAN memberi amaran Afghanistan bakal menjadi “tanah perkuburan” Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden Donald Trump menghantar beribu-ribu lagi tenteranya ke negara yang dilanda perang itu.
“Sekiraya AS tidak menarik balik tenteranya dari Afghanistan, tidak lama lagi Afghanistan bakal jadi satu lagi tanah perkuburan bagi kuasa besar abad ke-21 ini,” kata Zabiullah Mujahid , jurucakap kepada Taliban di Afghanistan.
Tambahnya lagi, AS perlu memikirkan strategi untuk keluar dan bukannya meneruskan perang.
“Selagi ada walau seorang askar AS di tanah air kita, dan mereka meneruskan perang terhadap kita, kita dengan semangat juang yang tinggi akan meneruskan jihad,” kata Mujahid.
Trump mengingkari janjinya untuk segera menamatkan perang terpanjang AS itu dalam ucapan rasminya yang pertama sebagai ketua komander lewat semalam.
Katanya, beliau sudah membuat keputusan yang “kesan daripada pengunduran yang drastik adalah boleh diramalkan dan tidak boleh diterima”, membolehkan pengganas akan segera menyusup masuk.
Sementara itu, pegawai kanan Rumah Putih berkata Trump telah memberi kuasa kepada setiausaha pertahanannya untuk menghantar sehingga 3,900 lagi tentera ke Afghanistan.
Terdahulu, Mujahid menolak strategi itu sebagai sama-samar dan lama.
“Buat masa sekarang saya boleh beritahu tiada apa-apa yang baharu dalam ucapan Trump dan ianya tidak jelas,” katanya.
“Seorang komander Taliban memberitahu yang Trump sama bongkak seperti presiden-presiden sebelum ini seperti George W. Bush.
“Dia hanya mensia-siakan askar-askar AS. Kita tahu bagaimana nak pertahankan negara kita. Itu tak akan mengubah apa-apa.
“Kami telah berperang selama bebrapa generasi, kami tak takut, kami sihat,bertenaga dan akan terus berperang sehingga ke nafas terakhir kami,” katanya melalui perbualan telefon dari lokasi yang dirahsiakan.
Tambahnya lagi, kenyataan Trump itu membuktikan kerajaan Afghanistan sekarang adalah “boneka AS”.
Para pemberontak membayangkan niat mereka beberapa minit selepas Trump berucap dan mendakwa kedutaan AS di Kabul menjadi sasaran roket lewat semalam.
Roket yang membedil lapangan di kawasan diplomatik bandar itu, bagaimanapun tidak meragut sebarang nyawa.
Trump juga menyelar sekutunya Pakistan kerana menawarkan tempat selamat kepada “agen-agen huru-hara”.
Seorang komander dari rangkaian sekutu Taliban, Haqqani, yang dipercayai telah lama mempunyai hubungan dengan penubuhan tentera bayangan Pakistan memberitahu yang “Trump membuktikan ia adalah perang Salib”.
“Kenyataannya itu membuktikan yang dia mahu menghapuskan seluruh umat Islam,” katanya.
Sebelum pengumuman Trump, Taliban telah menulis surat terbuka memberi amaran kepadanya supaya tidak lagi menghantar angkatan tentera dan menyeru Trump supaya mengarahkan tenteranya keluar dari Afghanistan. – AFP, 22 Ogos, 2017.
Komen