MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa menegaskan sebarang laporan kepada pihak berkuasa yang dibuat terhadap bekas ahli lembaga pengarah Tabung Haji (TH) tidak dibuat atas dasar untuk membalas dendam.
Naib presiden Amanah itu berkata, laporan berkenaan seharusnya boleh dijadikan pengajaran supaya perkara sama tidak berulang dan membawa pesalahnya ke muka pengadilan.
“Asas pendedahan kita terhadap laporan kewangan TH pada 2017 akan menyeebabkan ramai pihak meneliti apa yang berlaku dalam defisit begitu besar dan perkara yang kita katakan sebagai kerugian.
“Saya tidak pasti sama ada akan ada laporan selanjutnya, namun kita harapkan kalau laporan ada, mesti berasas dan tidak sekadar untuk bukan membalas dendam tapi ‘substantive’ yang boleh kita jadikan pengajaran dan mereka terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya, ketika ditemui di Konvensyen Nasional Amanah 2018, di Ipoh, hari ini.
Mujahid berkata demikian ketika diminta mengulas laporan polis yang dibuat syarikat Trurich Resources Sdn Bhd (Trurich) terhadap lima individu kerana didakwa memperdayakan syarikat itu dalam urusan pembelian ladang kelapa sawit di Indonesia berjumlah A$58 juta (RM242.61 juta) antara 2008 dan 2009.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung laporan polis tersebut kerana perkara itu sudah diajukan kepada pihak berkuasa.
“Saya pun tidak tahu, saya satu hari di sini…sefahaman saya, Truerich ada ‘joint venture’ dengan (syarikat) Felda Global Venture, saya tegaskan kita tidak akan komen perkara yang telah dibawa kepada polis, saya yakin polis akan siasat dan diajukan kepada pihak berwajib,” kata Mujahid.
Tambahnya, fokus utama kini adalah untuk memastikan pelan pemulihan badan pengendali ibadah haji itu dapat diselesaikan.
“Yang pasti saya akan teruskan pastikan pelan pemulihan TH dapat diteruskan bagi memastikan dalam jangka masa terbaik TH akan kembali semula atas landasan sebenarnya.
“Dan lebih penting untuk kembalikan tadbir urus yang baik dengan hasil lebih baik untuj dikembalikam kepada pendeposit khususnya yang nak kerjakan haji dan membaiki tadbir urus syarikat,” katanya.
Trurich, dalam kenyataannya semalam, berkata individu berkenaan adalah bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH), dua bekas CEO TH Plantations dan dua rakyat Indonesia.
Syarikat itu berkata, pada 2008 TH telah meluluskan pembelian ladang kelapa sawit di Kalimantan Utara (Kaltara) dan Kalimantan Tengah (Kalteng).
Trurich berkata ia digunakan sebagai platform untuk memperoleh saham-saham di syarikat yang memiliki ladang tersebut.
Pada masa pembelian itu, Trurich berkata ia adalah anak syarikat milik penuh TH.
Pada November 2009, FGV Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Felda Global Ventures Kalimantan Sdn Bhd, memperoleh 50 peratus kepentingan dalam Trurich daripada TH. – 15 Disember, 2018.
Komen