BERSATU tiada halangan untuk terima siapa saja yang berhasrat menyertai parti itu dengan syarat mereka lepas saringan oleh pimpinan tertinggi parti, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Mohd Yassin.
Bagaimanapun tegas Muhyiddin, penyertaan mereka ke dalam Bersatu bukan jaminan untuk terlepas daripada sebarang bentuk tindakan undang-undang sekiranya mereka mempunyai salah laku lampau seperti rasuah, salah guna kuasa atau kesalahan jenayah lain.
“Penyertaan dalam Bersatu tidak bermakna seseorang individu boleh terlepas daripada tindakan undang-undang jika terdapat kesalahan yang dilakukan pada masa lalu.
“Dasar ini terpakai untuk semua individu yang berminat untuk menyertai Bersatu, termasuk Ahli Parlimen, ADUN serta pemimpin parti pembangkang yang mengisytiharkan keluar parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beberapa pemimpin Pakatan Harapan bagaimanapun bimbang penyertaan bekas pemimpin Umno yang keluar parti ke dalam mana-mana parti komponen gabungan pemerintah itu bertentangan dengan kehendak rakyat yang menolak mereka, dan boleh menjejaskan agenda reformasi.
Sejak tewas pilihan raya umum Mei lalu, 17 ahli Parlimen Umno setakat ini sudah keluar parti – sebahagiannya telah diterima masuk Bersatu dan Warisan sementara sebahagian besar lagi kekal sebagai ahli Parlimen bebas.
Mereka yang diterima masuk Bersatu setakat ini Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin.
Menurut Muhyiddin, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mempunyai kuasa untuk menentukan status keahlian mereka berdasarkan pertimbangan-pertimbangan tertentu yang dibuat untuk tujuan memelihara kepentingan parti.
“Sekiranya terdapat sebab-sebab yang munasabah, permohonan menjadi ahli boleh ditolak oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.
“Bersatu juga tidak terikat untuk menawarkan apa-apa jawatan kepada mereka,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.
Pengerusi Bersatu Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini memaklumkan parti itu turut meletakkan syarat kepada mana mana-mana ahli Parlimen yang berhasrat untuk menyertai Bersatu tidak boleh memegang sebarang jawatan selama setahun selepas diterima masuk. – 15 Disember, 2018.
Komen