Pakatan tidak boleh tolak mentah bekas Umno, kata Salahuddin Ayub


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata mereka yang meninggalkan Umno perlu ditapis dan hanya yang bersih dan amanah saja diterima menyertai Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Disember, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) tidak harus menolak mentah-mentah bekas pemimpin Umno yang mahu menyertai mana-mana parti komponennya, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Katanya, mereka yang meninggalkan Umno perlu ditapis dan hanya yang bersih dan amanah saja diterima menyertai PH.

“Kita bagi Barisan Nasional (BN) hancur, sebab mereka menggunakan politik perkauman sejak sekian lama.

“Tapi yang paling penting, kita hanya terima mereka yang ada integriti sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Rabu, lima lagi ahli Parlimen, bersama sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua senator Umno Sabah keluar Umno.

Semalam, enam lagi ahli Parlimen, Hamzah Zainudin (Larut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Mohd Faisah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Latiff Ahmad (Mersing) dan Ikmal Hisham (Tanah Merah) turut mengambil langkah sama.

Sumber Amanah itu berkata, kesemua mereka sama ada akan menyertai Bersatu atau PKR.

Presiden PKR Anwar Ibrahim kelmarin berkata pihaknya tidak akan mempertimbangkan untuk menerima bekas pemimpin Umno menyertai parti itu walaupun sudah ada permintaan untuk berbuat demikian.

Sementara itu, sumber memberitahu The Malaysian Insight, Amanah pernah cuba memancing bekas ahli Parlimen Umno, Mustapa Mohamed dan Noor Azmi Ghazali, namun mereka memilih untuk menyertai Bersatu.

“Mereka rasa lebih selesa dengan Bersatu kerana ia mirip Umno,” kata sumber yang ditemui ketika Konvensyen Nasional Amanah 2018, di Ipoh.

Noor Azmi, ahli Parlimen Bagan Serai, meninggalkan Umno pada 24 Jun, manakala ahli Parlimen Jeli, Mustapa meninggalkan Umno pada 18 September.

Kedua-dua pemimpin itu adalah antara ahli Parlimen terawal yang meninggalkan Umno sejurus parti Melayu itu tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Daripada 54 kerusi Parlimen yang dimenangi Umno pada PRU14, parti itu kini hanya mempunyai 37 kerusi, selepas 17 ahli parlimennya meninggalkan parti itu. Ia juga menyaksikan kerusi Parlimen yang dimiliki BN berbaki 40 kerusi. – 15 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen