Mahkamah India putuskan talak tiga bercanggah dengan perlembagaan 


Mahkamah Agung dalam keputusannya berpendapat talak tiga bukan bahagian penting dalam amalan beragama dan bertentangan dengan moraliti perlembagaan. Kes ini dikemukakan oleh beberapa pempetisyen termasuk wanita yang dicerai talak tiga oleh suami masing-masing. – Gambar EPA, 22 Ogos, 2017.

MAHKAMAH Agung India memutuskan talak tiga dalam perkahwinan Islam bercanggah dengan perlembagaan republik itu kerana mencabul hak asasi wanita Muslim apabila perceraian tersebut menamatkan perkahwinan secara mutlak tanpa ada lagi ruang untuk pasangan terlibat bersatu semula.

Mahkamah Agung dalam keputusannya berpendapat talak tiga bukan bahagian penting dalam amalan beragama dan bertentangan dengan moraliti perlembagaan, lapor media di India.

Dalam keputusan majoriti 3-2 itu, Ketua Hakim Negara Jagdish Singh Khekar dan hakim S. Abdul Nazeer berpendapat amalan talak tiga adalah undang-undang diri yang tidak menyalahi perlembagaan dan parlimen perlu menggubal undang-undang mengawal selia perkahwinan dan perceraian orang Islam.

Mereka sepakat menangguhkan amalan talak tiga selama enam bulan bagi membolehkan kerajaan mengemukan rang undang-undang tersebut ke parlimen.

Tiga hakim lain, Kurian Joseph, Rohinton Fali Nariman dan Uday Umesh Lalit bagaimanapun sepakat amalan itu bertentangan dengan perlembagaan.

Asas penghakiman mereka ialah apa yang tidak dibenarkan dalam Al-Quran tidak boleh dipertahankan oleh Perlembagaan sebagai kebebasan mengamalkan agama.

“Talak tiga bertentangan dengan ajaran Al-Quran, dan oleh itu, bertentangan dengan syariah,” kata Joseph, dan dipersetujui oleh Lalit.

Lima hakim yang berlainan agama itu mendengar kes tersebut antara 12 hingga 18 Mei lalu, dan membacakan keputusan mereka hari ini.

Kes ini dikemukakan oleh beberapa pempetisyen termasuk wanita yang dicerai talak tiga oleh suami masing-masing.

Pempetisyen utama kes ini ialah Shayara Bano, 36, yang kini menderita pelbagai penyakit kerana beberapa kali menggugurkan kandungan sepanjang 15 tahun perkahwinannya, ditalak tiga oleh suaminya melalui sepucuk surat semasa dia berada di rumah keluarganya. 

Empat wanita lain menumpang petisyen yang sama termasuk Ishrat Jahan, 30, yang dicerai talak tiga oleh suaminya melalui telefon. Suaminya kemudian melarikan empat anak mereka, manakala satu lagi pempetisyen ialah sebuah pertubuhan sivil yang menggerakkan kempen hak wanita. 

Kerajaan India sebelum ini menyokong semakan mahkamah ini tetapi menegaskan ia hanya akan menggubal undang-undang mengawal selia talak tiga selepas mahkamah memberikan keputusannya. – 22 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen