Nik Omar dilantik YDP Yadim


Mohd Farhan Darwis

Nik Omar Nik Aziz dilantik jadi Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Disember, 2018.

NIK Omar Nik Aziz hari ini sah dilantik sebagai Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Pelantikan Anak Allahyarham Nik Aziz Nik Mat itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa, pada Konvensyen Nasional Amanah 2018, di Ipoh, Perak, hari ini.

Mujahid turut mengumumkan pelantikan Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah Zolkarnain Abidin sebagai timbalannya.

Nik Omar merupakan calon Amanah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Beliau tewas kepada calon PAS Ahmad Fathan Mahmood. 

Nik Omar yang ditemui The Malaysian Insight berkata, matlamatnya bersama pasukan baharu Yadim adalah untuk menyatukan umat Islam.

Tambahnya, pentadbiran baru juga akan memastikan objektif Yadim akan dapat dilaksanakan, selari dengan gagasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu rahmatan lil alamin (rahmat untuk sekalian alam).

“Kita akan pastikan supaya Islam difahami dengan baik terutamanya oleh orang bukan Islam.

“Kita juga mahu menjadi pentas penyatuan umat Islam, walaupun mungkin tidak berjaya satukan dari segi pandangan tetapi kita (mahu) kepelbagaian dalam kesatuan,” kata Nik Omar.

Kita akan pastikan supaya Islam difahami dengan baik terutamanya oleh orang bukan Islam, kata YDP baharu Yadim Nik Omar Nik Aziz. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Disember, 2018.

Yadim adalah badan amanah yang ditubuhkan bertujuan menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar berjalan seiring dan sejajar dengan dasar negara serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.

Badan berkenaan ditubuhkan pada 1974 oleh Perdana Menteri kedua, Abdul Razak Hussin.

Antara individu yang pernah dilantik menjadi yang di-pertua Yadim adalah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom, dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebelum Nik Omar, Yadim dipimpin oleh Dr Yusri Mohamad, bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). – 14 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen