Belum ada keputusan Bersatu akan ambil bekas pemimpin Umno Sabah


Mohd Farhan Darwis

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Rais Hussin berkata Bersatu sedang menelitti dan menilai berhubung perkara itu dan akan mengumumkannya selepas keputusan dibuat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2018

BERSATU belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan bekas pemimpin Umno Sabah yang bertindak keluar parti semalam, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Rais Hussin.

Rais turut memberi jaminan, sebarang keputusan yang bakal diambil oleh parti itu akan dibuat melalui rundingan dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan sekutu mereka di Sabah.

“Masing-masing ada perspektif dan pendirian mereka berhubung gerakan politik, Bersatu juga ada perspektif kami sendiri, kami sedang mengkaji perkara itu.

“Buat masa ini, kami sedang meneliti, menilai, dan bila tiba masanya, kami akan buat pengumuman,” kata Rais ketika ditemui pemberita dalam majlis pelancaran buku biografi, Mohamed Iqbal di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gelugor DAP Ramkarpal Singh yang berkata, dengan menerima mereka menyertai PH, ia bercanggah dengan komitmen kerajaan untuk perubahan.

Rais berkata, apa yang penting adalah kesemua bekas pemimpin Umno Sabah itu menyatakan sokongan kepada PH, dan tindakan berkenaan adalah untuk mengukuhkan gabungan parti kerajaan itu.

“Yang pentingnya pada ucapan mereka semalam disebut selain menyokong Dr Mahathir (Mohamad) sebagai perdana menteri, juga sokongan kepada PH, mereka juga mengatakan sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal.

“Politik ini cukup dinamik, jadi ada lagi fasa-fasa yang perlu kita tengok dan lihat dan insyaAllah kita akan war-warkan sejurus selepas keputusan telah dibuat,” kata Rais lagi.

Tambahnya, dalam politik, perbezaan pandangan dan pendapat adalah lumrah dan ia merupakan sebahagian daripada proses demokrasi.

“Oleh itu akan ada rundingan yang berterusan dengan ahli parti gabungan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Pada akhirnya, ini bukan hanya Bersatu yang menerima mereka yang lompat parti, ada juga parti lain, keutamaan kita adalah untuk mengukuhkan gabungan (parti kerajaan),” kata Rais lagi.

Ramkarpal berkata, menerima pemimpin Umno Sabah itu adalah pengkhianat kepada rakyat yang mahukan perubahan sebenar, dan bukannya kosmetik semata-mata.

Umno hilang lima lagi ahli Parlimen semalam apabila wakilnya dari Sabah keluar parti dan menjadi wakil bebas.

Ini menjadikan jumlah kerusi Parlimen milik Umno di seluruh negara berkurangan kepada 43 berbanding 54 yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu. – 13 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Yes Dato Wira. Post-mortem dulu. Ni mungkin ada game. Bila dah jadi tuduhan "ada gunting di dlm lipatan" tak berguna lagi. terlewat sdah masa tu.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Raja Shahrulzaman · Ulasan