KETEPIKAN dahulu hal-hal yang tidak mustahak, dan kita lihat pada faktanya:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menawarkan ahli politik dari sebuah parti yang beliau ejek dan persenda menjelang pilihan raya umum ke-14 menyertai Bersatu dan pintu belakang untuk masuk ke dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Dengan menerima bekas ahli politik Umno ini – produk daripada sistem sama yang memberikan kepada kita Najib Razak dan 1MDB, beliau menambah jumlah ahli Bersatu di Parlimen dan barangkali mengukuhkan kedudukan parti itu dalam PH.
Beliau mungkin mempercepatkan kematian Umno dengan menarik keluar pemimpinnya.
Tetapi apakah harga yang terpaksa dibayar untuk semua itu?
Bolehkah kita menyambut ahli politik dari sebuah budaya yang menerima dan menggalakkan rasuah, salah guna kuasa dan sistem naungan?
Bolehkah kita menawarkan salam kepada ahli politik yang ditolak oleh pengundi yang memberikan segala-galanya kepada Dr Mahathir dan PH, dan mencipta sejarah pada 9 Mei lalu?
Apakah Bersatu harus terus sibuk menambah ahli tulang belakangnya tanpa memikirkan kesan virus Umno akan menjangkiti PH?
Inilah soalan-soalan yang ditanyakan dalam kelompok PH susulan berita bekas Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin masuk Bersatu dan langkah wakil rakyat Umno Sabah keluar parti.
Ramkarpal Singh dari DAP berkata menerima wakil rakyat Umno masuk PH bertentangan dengan komitmen kerajaan untuk melakukan pembaharuan.
“Lagi PH layan pihak-pihak yang melompat ini, lagi bertambah kecewa rakyat terhadap PH.
“Ini perkembangan yang bahaya dan bertentangan sepenuhnya dengan kehendak rakyat yang menyingkirkan BN dalam PRU14,” katanya.
Beliau tidak salah.
Rakyat Malaysia yang memilih PH berkuasa bukan mengundi mereka untuk suka-suka. Mereka memikirkan semasak-masaknya pilihan yang ada.
Mereka menolak apa yang biasa dan memilih sekumpulan orang baru yang diketuai Dr Mahathir. Mereka percaya Dr Mahathir jujur mahu membersihkan kesilapan lampaunya dan menjanjikan sesuatu yang baru.
Sudah tentulah membawa orang lama dari budaya politik yang tercemar tidak mencerminkan sesuatu yang baru. Tidak mungkin.
Satu lagi hal yang membimbangkan ialah betapa derasnya sesetengah pemimpin Umno ini sedia melompat parti. Mereka yang selama bertahun-tahun menangguk di telaga Umno hari ini dengan mudahnya meninggalkan perjuangan.
Jadi, manusia jenis apakah yang dirangkul oleh Bersatu dalam pelukannya?
Oportunis politik atau manusia lalang?
Dr Mahathir dan penyokongnya mungkin berhujah bahawa orang Umno yang diterima menyertai Bersatu sudah diperiksa latar belakangnya dan umumnya tidak terpalit dengan kekotoran pentadbiran Najib.
Boleh jadi, tetapi mereka gagal ujian paling besar: Mereka tidak disokong oleh rakyat yang memberi mandat kepada Dr Mahathir dan PH berkuasa. – 13 Disember, 2018
Komen
UMNO akan berkubur perlahan, maka pentingnya orang melayu dari UMNO bersatu padu samada dgn menyertai PKR @ amanah @ bersatu supaya kesatuan Melayu mendominasi dalam PH akhirnya.
Tetapi sudah pasti langkah ini kurang disenangi oleh DAP @ penulis dlm MK @ akhbar MC @ akhbar TMI spt anda yg dapat membaca gerak geri politik Melayu ini.
Kenapa perlu mengikut rentak @ kehendak politik DAP?
Tanpa PH, DAP adalah parti kera sumbang.
Sementara di Sabah & Sarawak, parti teras bumiputera sudah pasti serumah dgn parti teras melayu di semenanjung, maka sikap anjing menyalak DAP tidak memberi kelebihan kepada mereka.
Mereka kena menerima hakikat, DAP tidak boleh memerintah Malaysia tanpa sokongan parti orang melayu @ bumiputera Sabah Sarawak.
Akhirnya, kita akan lihat, siapa yg beroleh kemenangan politik selepas pasca pru14, TDM @ DAP?
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mel Gonjeng · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan