MENERIMA wakil rakyat daripada Umno masuk ke dalam Pakatan Harapan bercanggah dengan komitmen kerajaan untuk perubahan, kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor DAP Ramkarpal Singh hari ini ketika khabar bertiup kencang semakin ramai wakil parti Melayu itu akan memasuki PH.
PH tidak memerlukan wakil rakyat ini, katanya, kerana ia akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap pakatan yang berjaya merampas kuasa pertama kali dalam sejarah negara daripada Barisan Nasional.
“Semakin kerap PH melayan perpindahan ini, semakin tidak percaya rakyat kepada PH.
“Ia perkembangan yang merbahaya dan bercanggah sepenuhnya dengan hasrat rakyat yang sepenuh hati mengundi keluar kerajaan BN pada PRU14.
“Untuk menerima mereka masuk ke dalam Pakatan Harapan (PH) sekarang adalah pengkhianat kepada rakyat yang mahukan perubahan sebenar, dan bukannya semata-mata kosmetik di mana lebih ramai muka lama kini jadi sebahagian kerajaan baharu,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.
Umno hilang lima lagi ahli Parlimen semalam apabila wakilnya dari Sabah keluar parti dan menjadi wakil bebas. Ini menjadikan jumlah kerusi Parlimen milik Umno di seluruh negara berkurangan kepada 43 berbanding 54 yang dimenanganinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu.
Ramkarpal berkata isu yang perlu dipertimbangkan sekarang adalah bagaimana perpindahan ke dalam PH akan menggambarkan komitmen kerajaan kepada perubahan.
“Ahli Parlimen Umno ini adalah sebahagian daripada sistem yang PH mahu ubah. Untuk berbuat demikian, pertamanya kita perlu membersihkannya semuanya dan membenarkan mereka masuk ke dalam PH bercanggah dengan (hasrat perubahan) ini.
“Alasan diberikan wakil rakyat ini untuk keluarnya mereka seperti Umno sekarang tiada hala tuju boleh digelakkan kerana lapan bulan yang lalu, Umno bagi mereka adalah satu-satunya hala tuju.”
Ramkarpal menambah yang perubahan sedang dilakukan kerajaan PH tidak hanya boleh dibataskan kepada mendakwa bekas pemimpin BN kerana korupsi, tetapi memansuhkan dasar dan korupsi yang berleluasa di bawah pemerintahan Umno.
“Diharapkan yang perdana menteri mengutamakan ketidakpuasan hati rakyat dalam melayan bekas wakil Umno ini kerana jika tidak berbuat demikian ia adalah pengkhianatan terbesar kepada rakyat,” katanya. – 13 Disember, 2018.
Komen