Kapal penggempur AS tiba di Singapura, bantu cari 10 anak kapal hilang


KAPAL penggempur amfibia USS America (LHA 6) tiba di Pangkalan Laut Changi dan berlabuh di dermaga berhampiran kapal USS John S. McCain, kata Armada Ketujuh Amerika Syarikat dalam laporan terkini melalui laman sesawangnya.

Menurut Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), negaranya akan menyediakan perkhidmatan “messing” dan berlabuh kepada anak kapal McCain dan akan melaksanakan usaha mengawal kerosakan dari atas kapal.

Amerika juga akan membantu usaha mencari 10 anak kapal yang hilang, katanya sambil menambah yang penyelam daripada Ship Repair Facility berada di situ untuk menilai kerosakan dialami kapal terbabit.

McCain berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC ketika belayar di timur Selat Melaka dan Selat Singapura semalam, sebelum tiba di Pangkalan Laut Changi.

Kerosakan teruk pada badan kapal berkenaan menyebabkan air memasuki bahagian lain, termasuk bilik anak kapal, jentera dan bilik komunikasi, kata kenyataan itu.

“Usaha anak kapal untuk mengawal kerosakan terhenti apabila banjir semakin teruk,” kata Armada Ketujuh, armada barisan hadapan terbesar Tentera Laut Amerika.

Sepuluh anak kapal masih hilang dan lima cedera.

Empat daripada yang cedera itu dipindahkan menggunakan helikopter Puma Angkatan Tentera Singapura ke sebuah hospital di republik ini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tentera Laut AS berkata usaha mencari dan menyelamat diteruskan di bawah penyelarasan pihak berkuasa tempatan.

Tentera Laut Diraja Malaysia turut menyertai usaha mencari itu tengah hari ini dengan menghantar kapal KD Handalan, KD Gempita dan KM Marudu serta sebuah helikopter Super Lynx.

Semalam, kapal peronda kelas Fearless Angkatan Laut Singapura, RSS Gallant (97), RSS Resilience (82) dan sebuah kapal Polis Pengawal Pantai Singapura, Basking Shark (PH 55) turut memberi bantuan.

Gallant bersama helikopter Super Puma SAF dan kapal Polis Pengawal Pantai, Tiger Shark (PH 54) dan Sandbar Shark (PH 56) terus memberi bantuan.

Helikopter Tentera Laut AS, MH-60S dan MV-22 Ospreys dari USS America juga membantu usaha mencari di laut.

Alnic MC adalah kapal tangki minyak dan kimia sepanjang 600 kaki berdaftar di Liberia yang mempunyai berat kasar 30,000 tan.

Siasatan akan dijalankan bagi menentukan fakta dan keadaan ketika berlaku kejadian itu, kata kenyataan tersebut. – Bernama, 22 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen