LAPAN lelaki warga Britain berjaya menyempurnakan kayuhan mereka di Madinah, Arab Saudi selepas berbasikal lebih 2,000 batu untuk melaksanakan ibadah haji, lapor portal Middle East Eye.
Mereka berjaya mengharungi perjalanan mencabar itu dalam tempoh kurang enam minggu selepas berbasikal melalui beberapa negeri di Britain, Perancis, Jerman, Switzerland, Liechtenstein, Itali, Greece dan Mesir.
Dikenali sebagai jemaah haji berbasikal, kesemuanya berasal dari pelbagai tempat di Britain, menjalani latihan selama lebih tiga bulan sebagai persediaan berdepan cabaran melalui gunung-ganang dan cuaca tidak menentu.
Beberapa halangan yang dihadapi termasuklah panas terik padang pasir di Mesir dan Arab Saudi, serta hujan lebat ketika melalui beberapa tempat di Eropah.
Mereka juga menghadapi sekatan dan isu visa yang memaksa mereka terbang ke Jeddah, bukannya mengambil feri dari Hurghada di Mesir, menyimpang daripada pelan asal untuk berbasikal terus ke Madinah dari pantai.
Sepanjang perjalanan yang diiringi kenderaan bantuan, mereka bergantung pada kemurahan hati penduduk setempat di setiap negara yang dilalui, seringkalinya orang Islam, yang menawarkan tempat berteduh dan makanan.
Abdul Mukith, seorang daripada jemaah haji berbasikal itu meluahkan rasa gembira semasa tiba di Masjid Nabi di Madinah, melalui siaran secara langsung dari Facebook rasmi “Hajj Ride”.
“Hanya dengan berjalan ke Masjid Nabi, saya tidak dapat menggambarkan perasaan dengan kata-kata, hampir enam minggu berbasikal, saya tidak percaya perjalanan itu selesai, tetapi satu perjalanan telah selesai dan sekarang kita perlu melengkapkan bahagian seterusnya,” kata Mukith.
“Seluruh pasukan melakukanya dengan selamat dan layanan baik yang diterima, saya tidak boleh meluahkannya dengan kata-kata.”
Kumpulan itu tiba di Arab Saudi pada petang Sabtu dan diiringi polis di Madinah hingga ke Masjid Nabi.
Disambut oleh penduduk setempat dan peminat aktiviti berbasikal, para jemaah haji berbasikal itu dibanjiri bunga dan penonton menyanyikan pelbagai lagu dalam bahasa Arab bagi mengalu-alukan kedatangan mereka ke Arab Saudi. – 22 Ogos, 2017.

Komen