Pekerja asing di kilang sarung tangan getah nafi dieksploitasi


Christopher Rabin

Pekerja warga asing di Top Glove Corp Bhd menafikan dakwaan bahawa mereka dieksploitasi oleh majikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Disember, 2018.

PEKERJA warga asing di Top Glove Corp Bhd terkejut membaca laporan bahawa mereka dieksploitasi oleh majikan, berkata dakwaan itu tidak benar.

Pekerja Nepal dan Bangladesh di luar kawasan kilang ketika pertukaran syif semalam, mengesahkan kenyataan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran bahawa dakwaan yang syarikat itu mengeksploitasi pekerja asing, adalah palsu.

Pekerja itu berkata mereka bekerja syif biasa lapan jam dan maksimum empat jam untuk kerja lebih masa setiap hari, di mana mereka menerima bayaran setiap dua minggu.

“Kami kerja 7 pagi hingga 4 petang,” kata Anish, 21, dari Nepal yang sudah 10 bulan bekerja di Top Glove.

“Selepas itu kami kerja lebih masa untuk empat jam.”

Pekerja itu berkata penyelia mereka tidak kisah jika mereka tidak mahu kerja lebih masa.

“Bos tidak paksa jika kami tidak mahu kerja lebih masa,” kata Sohel, 22, dari Bangladesh.

“Bos tidak beri masalah kepada kami, gaji saya dibayar tepat pada masanya dan syarikat ini baik,” katanya.

Berkenaan pasport mereka disimpan, seorang pekerja Nepal berkata pasportnya memang ada dalam simpanan syarikat.

“Saya tidak ada akses kepada pasport, ia disimpan oleh jabatan sumber manusia dan kita tidak boleh ambil,” katanya.

Seorang lagi pekerja pula berkata, mereka hanya perlu beritahu pihak pengurusan jika mahu mendapatkan dokumen perjalanan dan pasport mereka.

“Kami boleh ambil pasport, tetapi perlu beritahu warden dulu,” kata Madhab, 35, dari Bangladesh, yang bekerja di situ sejak 2016.

Pada Ahad, akhbar The Guardian di United Kingdom dalam laporannya mendakwa syarikat itu menindas ribuan pekerja asing termasuk memaksa mereka bekerja lebih masa mencecah 160 jam sebulan, melebihi tempoh bekerja lebih masa 104 jam yang ditetapkan undang-undang.

Kula Segaran kemudian menafikan tuduhan terhadap Top Glove itu.

Pengerusi Top Glove Lim Wee Chai memberitahu The Malaysian Insight kumpulan itu sedang mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar harian Britain itu, susulan laporan yang “tidak adil dan mengelirukan”. – 12 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen