Najib, Arul Kanda dituduh kes pinda laporan audit 1MDB


Asila Jalil Noel Achariam

Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Pejabat Perdana Menteri Putrajaya di antara 22 Februari hingga 26 Februari 2016. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Disember, 2018.

NAJIB Razak didakwa atas tuduhan meminda laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB sebelum dokumen itu dibentangkan ke Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC).

Bekas perdana menteri itu didakwa melakukan kesalahan itu di antara 22 Februari hingga 26 Februari 2016 di Kompleks Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Mengikut kertas pertuduhan, Najib didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dalam bentuk perlindungan daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Beliau didakwa melakukan demikian dengan “mengarahkan supaya laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disedia dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada (PAC)”.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Najib diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Hakim Azura Alwi menetapkan jaminan RM500,000 dan mengarahkannya dibayar pada hari ini.

Shafee seterusnya memohon agar jumlah itu dibayar dalam tiga ansuran, RM200,000, RM200,000 dan RM100,000.

Katanya ansuran seperti itu dibenarkan dalam kes terdahulu yang dihadapi Najib.

Azura menolak permohonan tersebut dan mengarahkan jaminan dijelaskan pada hari ini.

Pendakwa Raya Gopal Sri Ram memohon agar kes disebut bersama dengan kes dihadapi Arul Kanda Kandasamy pada 4 Januari dan dipersetujui Azura.

Di satu bilik Mahkamah Sesyen berasingan, Arul didakwa atas tuduhan mendapatkan suapaan dengan bersubahan dengan Najib atas tuduhan sama.

Bekas ketua pengarah eksekutif firma itu didakwa melakukan perbuatan itu di tempat sama dalam tempoh masa yang sama.

Arul juga didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman 20 tahun penjara serta denda sekiranya sabit kesalahan.

Mahkamah mengarahkan ikat jamin RM500,000 dan mengarahkan beliau menyerahkan pasport. Kedua-dua Arul, Najib membayar jaminan. – 12 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen