DAKWAAN dilemparkan ke atas syarikat Top Glove Sdn Bhd berhubung kes mengeksploitasi pekerja mungkin hanya fitnah daripada pesaing, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.
Beliau juga mengesahkan kementeriannya kini sedang meneliti dakwaan ke atas syarikat pengeluar sarung tangan terbesar Malaysia itu.
“Mungkin ada pihak ketiga, daripada pesaing-pesaing mereka. Saya difahamkan ada unsur fitnah, mungkin daripada pesaing, katanya kepada The Malaysian Insight.
Jelasnya, siasatan mendapati para pekerja berkenaan meminta untuk bekerja lebih masa melebihi had ditetapkan, dan bukannya dipaksa oleh syarikat.
“Ini bukan eksploitasi paksaan, ini pekerja yang rela bekerja lebih masa. Semalam, saya jumpa pekerja, bincang dengan mereka,” katanya.
Pekerja berkenaan melakukan kerja lebih masa secara sukarela kerana mahu meraih pendapatan lebih untuk digunakan dan dihantar ke negara masing-masing, katanya.
Tambahnya, selain menggaji 15,000 pekerja asing, Top Glove juga mempunyai seramai 4,000 pekerja daripada rakyat tempatan yang bekerja di 53 kilang miliknya.
Jumlah jam berkenaan itu melebihi tempoh bekerja lebih masa 104 jam yang ditetapkan undang-undang.

Akta Pekerja 1955 menggariskan jumlah jam untuk kerja lebih masa maksimum hanyalah 104 jam sebulan.
Beliau mengulas laporan akhbar United Kingdom, The Guardian mendakwa syarikat itu menindas ribuan pekerja asing termasuk memaksa mereka bekerja lebih masa sehingga 160 jam sebulan.
Laporan berita itu antara lain menyebut pekerja asing di syarikat berkenaan ialah menjadi mangsa buruh paksa, kerja lebih masa secara paksa.
Pekerja berkenaan juga didakwa menanggung beban hutang kerana gaji ditahan dan pasport mereka juga didakwa dirampas.
Mengulas dakwaan itu, Kula berkata siasatannya mendapati pekerja berkenaan memegang kunci tempat simpanan pasport dan potongan gaji RM50 untuk hostel dibenarkan undang-undang.
Dalam siasatan ke kilang Top Glove di Klang pada Isnin, beliau hanya menemui satu dakwaan dalam laporan The Guardian yang didapati benar, katanya.
Perkara itu sedang dalam siasatan Jabatan Tenaga Kerja, katanya yang menambah, jabatan itu melawat 22 kilang dimiliki Top Glove dan syarikat lain.
Susulan laporan The Guardian itu, saham Top Glove menjunam pada dagangan awal semalam, susut 5.93% atau 33 sen kepada RM5.57 dengan 1.2 juta saham bertukar tangan. – 12 Disember, 2018.
Komen