Serangan diketuai AS bunuh 27 orang awam di Raqa


PBB menganggarkan terdapat sehingga 25,000 orang awam yang terperangkap di dalam kota Raqa. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2017.

SERANGAN oleh pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) semalam telah membunuh 27 orang awam di sebahagian kota Raqa di Syria yang dikuasai kumpulan IS, menurut kumpulan pemantau Balai Cerap Syria bagi Hak Asasi Manusia .

Antara yang terbunuh dalam serangan yang melanda kawasan Al-Badu, yang padat dengan penduduk di pusat bandar adalah tujuh kanak-kanak, kata pengarah kumpulan itu, Rami Abdel Rahman hari ini.

Dahulunya adalah kubu kuat pejuang jihad, kini lebih separuh dari kota Raqa jatuh ke tangan Angkatan Demokratik Syria (SDF), sebuah kumpulan pakatan pejuang Kurdish dan Arab yang memasuki kota pada Jun.

SDF yang disokong kuat pakatan yang diketuai AS, sering melancarkan serangan udara ke atas pejuang jihad yang dilaporkan turut membunuh banyak orang awam.

Menurut Balai Cerap Hak Asasi manusia yang berpusat di Britain itu, sekurang-kurangnya 125 orang awam terbunuh dalam serangan ke atas Raqa selama seminggu yang diketuai AS. Ini termasuk mereka yang terbunuh semalam.

“Saban hari ada orang awam yang terbunuh dalam serangan gabungan… Semakin pertempuran menghampiri pusat bandar, lebih ramai orang awam yang mati,” kata Abdel Rahman.

Pakatan yang beroperasi di Syria dan Iraq itu berkata ia akan mengambil semula langkah yang mungkin bagi mengelakkan orang awam terkorban.

Ia mengakui serangannya ke atas Syria dan Iraq sejak 2014 telah meragut 624 nyawa orang awam. Bagaimanapun, kumpulan hak asasi berkata jumlah sebenar adalah lebih tinggi.

Petugas kemanusiaan PBB untuk Syria, Jan Egeland berkata wilayah IS di Raqa kini adalah “tempat terburuk” di negara yang dilanda peperangan itu.

PBB menganggarkan terdapat sehingga 25,000 orang awam yang terperangkap di dalam kota, dengan bekalan makanan dan bahan api yang sedikit dan terlampau mahal.

Puluhan ribu orang awam juga melarikan diri, berdepan risiko serangan penembak hendap IS dan periuk api.

Lebih daripada 330,000 orang terbunuh di Syria sejak konflik dengan protes anti-kerajaan meletus pada Mac 2011. – AFP, 21 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen