TENTERA Iraq pada Isnin semakin menghampiri bandar Tal Afar pada hari kedua serangan ke atas militan IS bagi merampas kembali bandar terbabit yang menjadi kubu kuat gerakan itu.
Serangan yang dilancarkan pada awal pagi Ahad dibuat seminggu selepas tentera Iraq menawan bandar kedua Mosul daripada IS di mana gerakan militan itu turut berdepan serangan ke atas kedudukan mereka di Syria.
Tal Afar sebelum ini merupakan hab bekalan utama antara Mosul dan sempadan Syria dan dengan menawannya akan memberikan tamparan kepada militan IS yang sebelum ini pernah menguasai sebahagian besar Syria dan Iraq.
Tentera Iraq, polis persekutuan dan pasukan anti keganasan yang disokong 20,000 pejuang dari kumpulan separa tentera Hashed al-Shaabi melancarkan serangan ke atas Tal Afar.
Mereka melakukan serangan tiga penjuru ke atas gerakan militan itu iaitu di barat, selatan dan barat daya bandar itu. Komander memberitahu AFP, mereka menjangkakan serangan itu akan memberi tekanan kepada kumpulan IS yang semakin berundur ke pinggir bandar itu.
Polis persekutuan berkata pasukannya telah menawan semula empat buah kampung di barat pada hari pertama operasi manakala kumpulan Hashed berkata pejuangnya kini semakin menghampiri kawasan pinggir bandar di barat Tal Afar.
Tentera Iraq terus melancarkan serangan mortar ke atas kumpulan IS selepas mengadakan serangan udara sebelum ini bagi melemahkan kedudukan gerakan itu yang menduduki Tal Afar pada 2014.
Sebagai persediaan sasaran seterusnya, pesawat Iraq pada Ahad dan Isnin menggugurkan risalah ke bandar Hawijah di selatan, bagi menggesa penduduknya bersedia kerana mengambil semula bandar itu menjadi sasaran seterusnya pihak tentera.
Hawijah yang terletak dalam wilayah Kirkuk berada pada jarak 300 kilometer dari barat laut Baghdad. – AFP, 21 Ogos, 2017.
Komen