Idris Jala pertahan cadangan Sarawak ikut jejak Felda


Desmond Davidson

Felda selama ini dilihat sangat berjaya dan membawa ramai petani kecil keluar dari kepompong kemiskinan, kata Idris Jala. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2017.

BEKAS ketua eksekutif Pemandu Idris Jala mempertahankan cadangannya supaya Sarawak mempunyai “Felda sendiri” dalam usaha kerajaan negeri mengubah sektor pertaniannya.

Beliau berkata walaupun Felda dan anak syarikatnya, Felda Golden Ventures Holdings Bhd dan Felda Incorporation (FIC) diselubungi kontroversi rasuah dan penyelewengan, model yang digunakan dalam memacu transformasi pertanian adalah “sangat berjaya”.

“Sebagai model pertanian, Felda selama ini dilihat sangat berjaya dan membawa ramai petani kecil keluar dari kepompong kemiskinan.

“Sarawak perlukan sesuatu seperti itu. Perladangan berskala besar dan perladangan kontrak.

“Jangan berfikiran sempit. Anda perlu berfikiran jauh, perlu berubah dari perladangan mampu diri dan kecil. Tetapi sudah tentu dengan pengurusan yang lebih baik,” kata Idris yang merupakan presiden dan ketua pegawai eksekutif Pemandu Associates, iaitu sebuah firma perunding swasta yang khusus dalam pemulihan peringkat nasional dan organisasi. 

Beliau menjawab kepada soalan mengapa beliau mencadangkan untuk mencontohi Felda yang dibelenggu skandal rasuah dan masalah tadbir urus di Persidangan Antarabangsa mengenai Pertanian dan Industri Asas Tani Sarawak di Kuching.

Idris menyifatkan dakwaan salah urus dan rasuah itu sebagai “sangat kecil’.

Minggu lepas, bekas pengerusi Felda Isa Samad ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam siasatannya terhadap pembelian hotel di Kuching dan London oleh FIC.

Idris mencadangkan kepada Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg selepas Abang Johari menyatakan wawasannya menjadikan sektor pertanian Sarawak sebagai “pengeksport hasil pertanian berkualiti tinggi dan produk-roduk yang memenuhi keperluan pasaran domestik dan global”.

Abang Johari berkata wawasan seperti itu hanya akan dapat dicapai melalui transformasi sektor pertanian.

Katanya, sebagai permulaan, beliau menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah bulanan petani Sarawak daripada RM2,750 kepada sekurang-kurangnya RM4,000 menjelang 2020.

Peningkatan itu katanya lagi akan dapat mengurangkan kemiskinan di kawasan luar bandar, yang pada masa ini berada pada 1.6%, dan juga meningkatkan kecekapan negeri dalam pengeluaran makanan. – 21 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen