Sembilan terbunuh dalam serangan militan di Maluso


Pasukan tentera Filipina melakukan rondaan di sekitar bandar Marawi bagi mengekang kegiatan militan yang menguasai bandar selatan negara Filipina itu. – Gambar EPA, 21 Ogos, 2017.

SEMBILAN orang terbunuh dan 10 lagi cedera selepas kumpulan militan menyerang sebuah pekan di Filipina pada awal pagi dan membakar rumah penduduk,” kata pihak polis.

Kira-kira 60 anggota Abu Sayyaf memasuki pekan di kubu kuat mereka di Pulau Basilan, selatan Mindanao dan melepaskan tembakan, kata ketua polis tempatan John Cundo kepada AFP.

“Ini merupakan tindakan keganasan dan pengecut. Apabila mereka berdepan dengan pasukan keselamatan dan bertempur selama 45 minit, mereka merasakan kekuatan kami sebelum berundur dan melarikan diri,” kata Cundo.

“Malangnya, terdapat wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa kerana ketika kejadian mereka sedang tidur.”

Kumpulan militan itu membakar empat buah rumah dan pusat jagaan kanak-kanak di tengah bandar Maluso, kata Cundo dan menambah polis kini giat menjalankan operasi memburu kumpulan terbabit.

Abu Sayyaf merupakan kumpulan militan yang ditubuhkan pada 1990-an yang menerima dana daripada rangkaian Al-Qaeda Osama Bin Laden.

Ahli kumpulan itu terlibat dengan kegiatan rompakan, penculikan dan menyasarkan warga asing bagi mendapatkan wang tebusan..

Satu lagi puak yang berpangkalan di Pulau Basilan turut menyatakan kesetiaan mereka kepada kumpulan militan IS.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada puak berkenaan terbabt dalam serangan di Maluso pada Isnin, walaupun ahlinya merupakan dalam kalangan militan yang menduduki Marawi sejak Mei lalu.

Kumpulan militan berkenaan turut bertempur dengan pasukan tentera yang disokong tentera Amerika Syarikat di Marawi yang menyebabkan lebih 700 nyawa terkorban dan hampir 400,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan darurat di satu pertiga daripada selatan Filipina termasuk di Pulau Basilan bagi mematahkan ancaman militan.

Berikutan serangan pada Isnin itu, ramai penduduk ketakutan meninggalkan kediaman mereka dan pihak berkuasa menghantar ramai anggota pasukan keselamatan untuk mengawal kawasan itu, kata Cundo.

Tambahnya, kumpulan Abu Sayyaf turut melancarkan serangan yamg sama ke atas bandar itu tahun lalu.

Insiden terbabit berlaku sehari selepas pasukan tentera menyelamatkan tebusan warga Vietnam yang ditahan Abu Sayyaf di Pulau Basilan selama sembilan bulan. – AFP, 21 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen