TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas hari ini menamakan Menteri Air, Tanah dan Sumber Mineral Xavier Jayakumar sebagai menteri persekutuan yang mencadangkan Sarawak menyerahkan hak autonomi tanah di negeri itu.
Menerima cabaran PKR Sarawak dan pengguna media sosial untuk menamakan menteri persekutuan terlibat dan membuktikan beliau tidak “mereka-reka cerita”, Uggah dalam satu kenyataan berkata Jayakumar membuat cadangan itu pada ucapannya di mesyuarat Majlis Tanah Negara di Putrajaya minggu lepas.
Alasan yang diberikan supaya Sarawak menyerahkan hak tanah walaupun sudah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah “tidak adil untuk negara mempunyai tiga undang-undang mentadbir pentadbiran tanahnya”.
Tiga undang-undang itu merujuk kepada Kod Tanah Negara Malaya, Kod Tanah Sabah dan Kod Tanah Sarawak.
Uggah berkata beliau serta merta menyampuk ucapan Jayakumar dan memintanya menarik balik kenyataan tersebut.
“Dalam ayatnya sendiri, nampaknya Xavier mencadangkan yang negara patut mempunyai hanya satu jenis kod tanah meliputi semuanya.
“Jika tidak ada niat (untuk terus menghakis autonomi Sarawak), mengapa dia bangkitkan perkara itu dalam ucapannya?” kata Uggah.
“Kerana itulah saya perlu serta merta mencelah ucapannya. Walaupun biadap untuk saya berbuat begitu, saya perlu mempertahankan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada sesi bertemu rakyat di Rumah Entiggan di Spaoh, hampir 210km dari Kuching semalam, timbalan ketua menteri itu berkata wujud cubaan terbaru Putrajaya untuk menghakis hak autonomi negeri.
PKR Sarawak yang bimbang dakwaan itu bakal menjejaskan peluang Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Sarawak yang akan datang, malam semalam memberikan tempoh tiga hari kepada Uggah untuk menamakan menteri tersebut. – 9 Disember, 2018.
Komen