-2.jpg)
SAYA begitu teruja untuk mengetahui apakah bentuk penyelewengan dalam Tabung Haji (TH) yang bakal didedahkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof Rawa setelah disensasikan beritanya dua hari lalu di media massa.
Rupa-rupanya penyelewengan yang didedahkan bukanlah mengenai rompakan, rasuah mahupun penyelewengan wang pendeposit TH. Sebaliknya hanyalah berkaitan dengan dakwaan Mujahid bahawa Tabung Haji (TH) telah membayar dividen (hibah) kepada pendeposit secara haram selama 4 tahun berturut-turut semenjak 2014 sehingga 2017.
Sepanjang memegang portfolio timbalan menteri di JPM, saya tidak pernah pula mendengar apa-apa laporan daripada Audit Negara mahupun Audit Luar berkenaan dengan isu pemberian dividen sepanjang 4 tahun terdahulu. Apatah lagi kuasa menteri di JPM hanya boleh mengumumkan pemberian dividen setelah disahkan Audit Negara.
Jika benar pengurusan TH terdahulu telah melakukan tindakan salah kerana membayar dividen secara haram berjumlah RM12.652 bilion sehingga TH kekurangan RM4.1 bilion pada akhir 2017, saya sarankan agar Pengurusan TH hari ini menyaman mereka berbanding membuat kenyataan awam yang boleh mencetuskan panik.
Sejujurnya saya bimbang dengan reaksi pasaran dan pendeposit yang boleh mengeluarkan wang mereka pada bila-bila masa lantaran kurang yakin bahawa TH akan memberikan dividen sebagaimana amalan sebelum ini.
Jika ini berlaku, TH akan berhadapan dengan krisis besar atau istilah kewangannya “bank-run” yang mampu melumpuhkan sebuah institusi Islam yang besar sumbangannya kepada umat. Sedangkan TH tidak pernah dilaporkan mengalami kerugian bahkan setiap wang pendeposit dijamin oleh Kerajaan sebagaimana peruntukan Akta Tabung Haji 1995.
Kalaupun ada perbezaan pandangan mengenai dasar perakaunan dalam penilaian aset TH di antara pengurusan baru dengan pengurusan lama, perkara ini tidak wajar disensasikan secara umum sehingga tercetus pelbagai persepsi awam mengenai kedudukan kewangan TH yang tidak tepat dan boleh memudaratkan.
Jangan pula isu ini menjadi alasan menutup kelemahan Kerajaan PH yang selama ini masih gagal menstabilkan pasaran saham dan modal negara sehingga TH tidak mampu lagi memberikan dividen yang setara atau lebih baik kepada pendeposit berbanding tahun-tahun sebelumnya. Lebih membimbangkan jika ini sebagai alasan untuk menjual aset-aset strategik TH dan memberi manfaat kepada pihak-pihak tertentu.
Saya masih kekal berpendirian tegas tanpa kompromi, sekiranya terdapat sebarang salah laku, rasuah mahupun penyelewengan wang pendeposit TH, siasatan dan pendakwaan harus segera dilakukan terhadap mereka yang bertanggungjawab, bukannya berterusan diadili di media massa. – 10 Disember, 2018.
*Dr Asyraf Wajdi Dusuki adalah ketua Pemuda Umno.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen