Penjenayah tak takut jika mansuh hukuman mati, kata Perkasa


Mohd Farhan Darwis

Presiden Perkasa Ibrahim Ali mengulas tentang usaha kerajaan mahu memansuhkan hukuman mati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2018.

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) pro-Melayu Perkasa menuntut kerajaan mengekalkan hukuman mati kerana bimbang penjenayah tidak lagi berasa gerun untuk melakukan kesalahan.

Presidennya Ibrahim Ali berpendapat jika hukuman itu dimansuhkan, pelaku tidak takut untuk melakukan jenayah kerana tahu mereka akan dijaga dengan baik di penjara.

“Mansuh hukuman mati boleh motivasi penjenayah untuk lakukan jenayah kerana mereka dijaga dengan baik dalam penjara. 

“Mana semangat untuk beri pengajaran kepada penjenayah?” soalnya.

Malah kerajaan juga akan menanggung perbelanjaan tinggi untuk memenjarakan pesalah jika hukuman mati dimansuhkan

“Sejak 30 tahun lalu, kerajaan membelanjakan sebanyak RM575 juta untuk kebajikan 1,281 banduan yang sedang menunggu hukuman mati.

“Kos sehari menelan belanja RM41 (setiap orang) untuk makanan mereka,” kata Ibrahim dalam sidang media di ibu pejabat pertubuhannya di Kuala Lumpur. 

Ibrahim juga berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga tidak seharusnya tunduk kepada desakan kumpulan minoriti yang mengguna alasan hak asasi untuk menolak hukuman mati.

Dakwanya, majoriti rakyat Malaysia menolak pemansuhan hukuman mati itu.

“Sekarang ini ada segolongan kumpulan, segelintirnya termasuk Majlis Peguam, kumpulan perjuangkan hak asasi dan Lawyer sfor Liberty, dan peguam melalui firma masing masing sedang berusaha pengaruhi kerajaan mansuh hukuman mati.

“Sedangkan majoriti rakyat Malaysia, hampir 80% mahu dikekalkan hukuman mati,” dakwa Ibrahim yang juga menuntut kerajaan mengekalkan undang-undang kuku besi seperti Akta Hasutan 1948.

Ibrahim seterusnya meminta orang ramai menyokong petisyen dalam talian Perkasa untuk mengekalkan hukuman mati.

Putrajaya menubuhkan jawatankuasa khas pada Jun lalu bagi mengkaji hukuman mati dan juga undang-undang sedia ada yang dilihat menindas rakyat di negara ini.

Menteri Undang-undang Liew Vui Keong mengumumkan kerajaan akan memansuhkan hukuman mati bagi 33 kesalahan.

NGO hak asasi mendesak agar pemansuhan tersebut bentangkan segera di Dewan Rakyat.  – 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen