Tiada pilihan raya PBT, kata Dr M


Dr Mahathir menekankan keadaan di bandar dan luar bandar berbeza, dan pilihan raya itu mungkin akan menghasilkan sesuatu di luar jangkauan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Disember, 2018.

KERAJAAN tidak akan memperkenalkan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana ia mungkin membawa kepada konflik berhubung kaum di negara ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Pilihanraya majlis tempatan boleh hasilkan keputusan yang salah.

“Bandar mungkin berbeza, di luar bandar juga boleh jadi berbeza.. terdapat konflik perbezaan kaum dan sebagainya.

“Jadi, kami tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya pada Konvensyen Memperkasakan Majlis Tempatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Sebelum ini, Pakatan Harapan mencadangkan supaya pilihan raya kerajaan tempatan diperkenalkan jika berkuasa walaupun ini tidak dinyatakan dalam manifesto pilihan raya.

Hanya beberapa hari selepas membentuk kerajaan pada bulan Mei, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata Putrajaya akan mengadakan pilihan raya untuk datuk bandar dan presiden majlis tempatan sebaik sahaja ekonomi stabil.

Beliau menambah kementeriannya akan mengkaji perkara itu dalam tempoh enam bulan. Baliau bagaimanapun menganggarkan pilihan raya itu hanya dapat dijalankan dalam masa tiga tahun.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa keperluan mengadakan pilihan raya majlis tempatan tidak seharusnya menjadi beban kewangan kepada kerajaan persekutuan.

Rakan kongsi Pakatan Harapan, DAP menjadi penyokong kuat pilihan raya ketiga itu. Bahkan semalam, konvensyen DAP Selangor 2018 meluluskan resolusi untuk mendesak kerajaan Selangor untuk melaksanakan semula pilihan raya majlis tempatan bagi meluaskan amalan demokrasi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mengulangi hari ini apa yang beliau katakan pada April 2017 - bahawa beliau tidak berminat dalam pilihan raya majlis tempatan kerana ia akan memecahbelahkan pelbagai kaum di negara ini.

Amalan pilihan raya majlis tempatan digantung pada tahun 1965 semasa konfrontasi di Malaysia berada di kemuncak, dengan jaminan bahawa amalan itu akan dijalankan sebaik sahaja perdamaian diumumkan. – 10 Disember, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen