Tabung Haji bayar hibah tapi akaun defisit RM4.1 bilion


SM Amin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata Lembaga Tabung Haji membayar hibah walau mencatat defisit sebanyak RM4.1 bilion. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Disember, 2018.

LEMBAGA Tabung Haji didapati bertindak melanggar undang-undang kerana membayar hibah kepada pendeposit walau akaunnya mencatat defisit, kata menterinya Mujahid Yusof Rawa.

Menteri hal ehwal agama itu mendedahkan lembaga itu membayar hibah walau mencatat defisit sebanyak RM4.1 bilion.

“TH mengisytiharkan hibah sejak 2014 dan ia tidak mengikut akta kerana asetnya kurang daripada liabiliti,” kata dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata laporan akaun Tabung Haji 2017 menunjukkan aset keseluruhan Tabung Haji pada 31 Disember sebanyak RM70.3 bilion, lebih rendah daripada liabiliti sebanyak RM74.4 bilion.

Sehubungan itu katanya, bayaran hibah kepada pendeposit pada tahun lalu bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995.

Mujahid berkata sebarang pemberian hibah perlu dilakukan dengan syarat aset tidak kurang daripada liabiliti dan mempunyai keuntungan yang boleh diagihkan.

Dua laporan polis dibuat oleh pengurusan Tabung Haji minggu lalu terhadap bekas pengerusinya, Abdul Azeez Abdul Rahim dan dua bekas ketua pegawai eksekutif, Ismee Ismail dan Johan Abdullah, serta kakitangan pengurusan kanan.

Pengurusan kanan yang terlibat Ketua Pegawai Operasi, Adi Azuan Abdul Ghani; Ketua Pegawai Kewangan, Rozaida Omar; Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Laporan pertama membabitkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) pada 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik. 

Pembiayaan program tersbeut bertentangan dengan memorandum dan artikel persatuan YTH.

Laporan polis kedua pula dibuat terhadap Ismee, Hazlinda dan Rifina berkaitan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting membabitkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95% dalam PT TH Indo Plantations.

Saham tersebut dipegang dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk AS$910 juta (RM3.8 bilion) pada 2012.

Dalam sidang media hari ini, Mujahid turut memaklumkan Tabung Haji kini dalam proses merangka pelan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi Islam itu.

Antaranya melibatkan menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) bagi mengambil alih, memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset Tabung Haji yang menunjukkan prestasi tidak memberangsangkan.

Oleh itu kerajaan memutuskan untuk meletakkan Tabung Haji bawah pengawasan Bank Negara Malaysia bermula tahun depan, katanya.

“Kabinet telah berbincang tentang pelan pemulihan ini dengan teliti dan memberi sokongan penuh terhadap pelan tersebut supaya kedudukan kewangan Tabung Haji dapat diperbaharui serta mengembalikan keyakinan rakyat.

“Bagi memastikan pelan jangka masa panjang yang mampan, kerajaan telah memutuskan untuk meletakkan Tabung Haji di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia secara pentadbiran bermula 1 Januari 2019,” katanya.

Tabung Haji juga dalam proses merangka pelan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi Islam itu.

Antaranya melibatkan menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) bagi mengambil alih, memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset Tabung Haji, katanya. – 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen