Himpunan bantah ICERD lancar kerana Pakatan, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis

Hampir 50,000 orang dianggarkan menyertai bantahan ICERD di Kuala Lumpur semalam tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2018.

KELANCARAN himpunan anti Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka semalam adalah kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendukung prinsip demokrasi, kata Muhyiddin Yassin.

Menteri dalam negeri itu berkata, berbeza ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang menekan dan mengenakan tindakan undang-undang kepada penganjur dan pemimpin yang menyertai sesuatu himpunan awam aman.

“Semalam selesai satu perkara, perhimpunan meraikan keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD, sebagai menteri dalam negeri, saya ingin katakan inilah pertama kali saya diberitahu Ketua Polis Negara (Fuzi Harun) tidak ada satu pun insiden berlaku. 

“Tiada (peserta) disentuh mana-mana pihak, polis tahan atau sekat supaya perhimpunan tidak dapat berjalan seperti berlaku dalam (pentadbiran) BN dulu,” kata Muhyiddin, ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Amal PH di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) malam ini.

Presiden Bersatu itu berkata, himpunan itu yang berlangsung tanpa sebarang insiden keganasan dan provokasi membuktikan PH tidak menekan rakyat yang mahu menyampaikan suara mereka menggunakan undang-undang.

“Malaysia baru bawah PH yang dipimpin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang didukung rakyat menjunjung prinsip demokrasi, hak rakyat bersuara kita tak tahan dan sekat.

“Ini sebenarnya langkah ke hadapan, rakyat boleh bersuara menyatakan pandangan dan pendapat mereka. Ini menunjukkan hala tuju jelas PH,” kata Muhyiddin.

Himpunan bantah ICERD semalam disertai pemimpin pembangkang termasuklah Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2018.

Kejayaan himpunan itu juga katanya bukti PH mendaulatkan prinsip kebebasan dan mendaulatkan kebebasan bersuara.

“Sebagaimana kita janji mendaulatkan undang-undang, rakyat berhak bersuara, PH yang mendukung prinsip kebebasan hak bersuara tiada sekatan dan halangan untuk rakyat tertakluk kepada undang-undang,” katanya lagi.

Himpunan membantah ICERD semalam dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dengan sokongan pembangkang dari Umno dan PAS.

Himpunan itu menyaksikan kira-kira seramai 50,000 peserta, yang majoritinya orang Melayu berhimpun di Dataran Merdeka, meraikan keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD.

Himpunan berkenaan juga berlangsung dengan aman tanpa menyaksikan berlakunya sebarang kekecohan dan keganasan. – 9 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen