GAMBAR sidang media pertama Dr Mahathir Mohamad selepas upacara mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-7 mendapat bidaan tertinggi pada Majlis Makan Malam Amal Pakatan Harapan di Putrajaya malam ini.
Gambar yang turut disertai tandatangan barisan presiden parti komponen PH itu menerima bidaan berjumlah RM500,000.
Gambar yang menerima bidaan kedua tertinggi adalah gambar hari pertama Dr Mahathir melangkah masuk ke pejabat perdana menteri buat kali kedua di Putrajaya, yang menerima bidaan sebanyak RM350,000.
Gambar Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima bidaan berjumlah RM150,000 oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan, diikuti gambar Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin (RM110,000), gambar Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (RM100,000).
Gambar Presiden Amanah Mohamad Sabu dibida pada harga RM10,000. Sejumlah RM1.22 juta berjaya dikutip dalam keseluruhan proses bidaan malam tadi.
Program makan malam amal pula menyaksikan sejumlah 156 meja berjaya dijual dengan jumlah kutipan sebanyak RM1.665 juta.
Dr Wan Azizah berkata, majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu selaras iltizam PH untuk tidak menggunakan dana kerajaan bagi aktiviti parti.
Dalam ucapannya, Dr Wan Azizah mahu gerak kerja parti-parti komponen dapat terus berjalan dengan lancar demi manfaat rakyat.
“Kita mahu mengakhiri cara yang lapuk terutama apabila melibatkan perihal atau praktis pembiayaan politik. Oleh sedemikian, kita mengadakan makan malam amal ini secara terbuka kepada awam.
“Ini kerana praktis sebelum ini sudah sebati ibarat duri dalam daging di mana seseorang itu akan mengharapkan balasan atau laba apabila melakukan sesuatu pertolongan atau kebaikan. Jadi, bagaimana kita mengubah budaya bobrok ini, persoalan yang harus dijawab dalam diri kita sendiri,” katanya.
Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Presiden PKR Anwar Ibrahim. – 9 Disember, 2018.
Komen