Maik kata pemindahan kubur di Kota Bharu ikut syarak


Timbalan Yang Dipertua Maik Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi berkata kedudukan batu nisan yang berselerak di tanah perkuburan seperti yang ditularkan kerana proses pemindahan masih lagi berjalan dan tergendala akibat hujan sejak seminggu lepas. – Gambar Facebook, 9 Disember, 2018.

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengesahkan pemindahan kubur di Jalan Gajah Mati di Kota Bharu, adalah mengikut syarak dan telah dirujuk kepada Jabatan Mufti Negeri Kelantan.

Timbalan Yang Dipertua Maik Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi berkata kedudukan batu nisan yang berselerak di tanah perkuburan seperti yang ditularkan kerana proses pemindahan masih lagi berjalan dan tergendala akibat hujan sejak seminggu lepas.

“Proses pemindahan mula dilakukan pada 1 November lepas sudah 70% siap dan dijangka kerja tersebut dapat disempurnakan bulan hadapan. Kerja penggalian dihentikan sementara ekoran hujan lebat sejak seminggu lepas dan terdapat batu nisan yang belum dikumpulkan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas dakwaan pemindahan kubur di Jalan Gajah Mati tidak mengambil kira sensitiviti orang Islam apabila didapati kebanyakan batu nisan dibiarkan berselerakan di tanah perkuburan itu.

Nik Mohd Azlan berkata penggalian kubur itu setakat ini mengesan 552 cebisan tanah hitam yang disifatkan sebagai jenazah dan telah dipindahkan ke tanah perkuburan Islam Mukim Tanjong Chat, Kota Bharu. 

Beliau berkata, “Bayaran istibdal berjumlah RM2.2 juta telah diberikan kepada MAIK bagi menggantikan tanah kubur lain,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden Amanah Kelantan Che Ibrahim Muhammad dalam tinjauannya ke tanah perkuburan tersebut berkata kerajaan negeri diminta menguruskan pemindahan kubur dengan lebih beradab selepas mendapati banyak batu nisan dibiarkan berselerakan.

Che Ibrahim juga meminta kerajaan negeri mengkaji semula proses pembangunan di atas tapak perkuburan lama di Jalan Gajah Mati itu yang menempatkan hampir 200 kubur lama termasuk dipercayai beberapa kerabat Diraja Kelantan.

“Antara kubur yang ditempatkan di sini ialah kubur Long Bahar dan Long Deraman iaitu adik-beradik Raja Legeh dari Kesultanan Kelantan Kuno selain kubur ulama Nusantara terutama dari Acheh yang telah membuka perkampungan dan membina Masjid Kampung Laut beberapa ratus tahun dahulu,” katanya.

Beliau berkata tapak perkuburan yang berusia hampir 700 tahun itu boleh dikekalkan sebagai tapak warisan sejarah negeri. – Bernama, 9 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen