Kontroversi 'bin Abdullah': Mahkamah Persekutuan benar rayuan JPN


Ketua hakim membenarkan permohonan peguam kanan persekutuan menangguhkan pelaksanaan keputusan membenarkan seorang kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2017.

MAHKAMAH Persekutuan Putrajaya hari ini membenarkan permohonan dikemukakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua lagi untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan seorang kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya.

Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif yang mengetuai tiga anggota panel hakim membenarkan permohonan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan sementara menunggu penyelesaian kes di Mahkamah Persekutuan.

Dalam kes sivil, sesuatu pihak perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan sebelum mereka boleh meneruskan dengan sesuatu rayuan itu. JPN dan dua lagi pemohon  memfailkan rayuan untuk mendapatkan penangguhan bagi pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dan mahkamah tertinggi itu menetapkan 8 September untuk mendengar kes berkenaan.

“Kami membenarkan permohonan penangguhan itu berkuat kuasa hari ini dan tiada perintah mengenai kos,” kata Hakim Md Raus.

Terrirudin yang mewakili JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan Malaysia memohon kepada Mahkamah Persekutuan penangguhan bagi pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan  yang diumumkan pada 25 Mei lepas.

Hakim Md Raus yang bersidang dengan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Alizatul Khair Osman Khairuddin turut membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Johor untuk mecelah dalam permohonan penangguhan tiga pemohon itu.

Bagaimanapun panel hakim itu membatalkan permohonan sama daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Kedua-dua majlis agama itu diwakili Sulaiman Abdullah. 

Hakim Md Raus sebelum itu menasihatkan Sulaiman menjadi amicus curiae dalam kes ini (secara literalnya bermakna rakan mahkamah, penasihat yang adil) kerana kes berkenaan merupakan semakan kehakiman dan bukan kes saman.

“Saya mahu kes ini diselesaikan segera dan kita tidak mahu pelbagai pihak mencelah dan berhujah atas perkara yang sama,” kata Raus.

Peguam K.Shanmuga yang mewakili ketiga-tiga responden membantah permohonan itu tetapi bersetuju peguam bagi kedua-dua majlis agama itu dijadikan amicus curiae.

Pada 25 Mei, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang dikemukakan pasangan itu dan anak lelaki mereka yang memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi memastikan ketua pengarah JPN menukar perkataan ’Ábdullah’ sebagai bin untuk nama kanak-kanak itu kepada nama bapanya dalam sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulisnya pada 25 Julai tahun ini berkata ketua pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa seseorang kanak-kanak Islam tidak sah taraf.

Mahkamah itu berkata bidang kuasa ketua pengarah berkenaan adalah bersifat sivil dan hanya terhad dalam menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu memenuhi syarat yang terkandung dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) yang meliputi semua kanak-kanak tidak sah taraf melibatkan orang Islam dan bukan Islam.

Mahkamah itu memutuskan fatwa bukan perkara yang wajib diterima oleh undang-undang dan tidak boleh dijadikan asas undang-undang oleh ketua pengarah JPN dalam menentukan nama bapa seseorang anak yang tidak sah taraf mengikut Seksyen 12 A (2) BDRA. – Bernama, 21 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen