Ketegangan daerah memuncak selepas serangan maut di Sepanyol


Dua serangan maut dilakukan pengganas di Sepanyol menambah ketengangan pemisahan daerah. – Gambar EPA, 21 Ogos, 2017.

SELEPAS serangan maut di Catalonia, tuntutan pihak pemisah antara Madrid dan Barcelona semakin memuncak sehingga memaksa polis melancarkan siasatan ketika Sepanyol menggesa rakyatnya terus berpadu bagi mengelakkan perpecahan.

Kerajaan tempatan Catalan bertegas mahu meneruskan referendum kemerdekaan di kawasan utara negara itu yang kaya pada 1 Oktober depan, tetapi berdepan dengan halangan Madrid.

Rakyat Sepanyol menyifatkan konfrontasi itu sebagai “pertembungan bersemuka”.

Ketegangan ikatan daerah di Sepanyol semakin memuncak selepas dua serangan maut berlaku minggu lepas di Barcelona dan Cambrils, sebuah bandar pelancongan pesisir pantai di Catalan yang membunuh 14 orang dan mencederakan lebih 100 orang.

Serangan itu memaksa Perdana Menteri Sepanyol Mariano Rajoy bergegas ke Barcelona pada malam Khamis lepas selepas serangan pertama di persiaran Las Ramblas untuk bertemu timbalan dan wakil kerajaan di Catalonia.

Kerajaan daerah Catalan bagaimapun melakukan pertemuan berasingan.

Perdana menteri itu kini berdepan dengan tuduhan daripada dalam partinya sendiri Parti Popular, menyemarakkan sentimen pemisahan apabila enggan memenuhi tuntutan Catalan untuk autonomi yang lebih besar.

Berulang kali beliau menegaskan yang perlunya “usaha bersama” dan “perpaduan untuk menentang keganasan.”

Menteri Dalam Negeri Sepanyol, Juan Ignacio Zoido menimbulkan kemarahan kerajaan tempatan Catalan apabila mengisytiharkan kumpulan pengganas yang melakukan serangan di Catalan sudah “dihapuskan”.

Menteri Dalam Negeri Catalonia, Joaquim Forn mengatakan yang polis Catalonia masih lagi melakukan siasatan dan suspek utama serangan di Las Ramblas masih lagi bebas.

Catalonia yang mempunyai 7.5 juta penduduk serta bahasa dan budaya tersendiri mempunyai pasukan polis sendiri  iaitu Mossos d’Esquadra yang mengawal daerah autonomi itu.

Media Sepanyol yang menentang pemisahan Catalan juga mengecam tindakan Forn yang membezakan antara rakyat Sepanyol dan Catalan yang terbunuh dalam serangan pengganas itu seolah-olah mereka adalah dua negara berbeza.

Penganalisis sudah lama memberi amaran yang Catalonia menjadi tempat tumpuan pengganas berdasarkan jumlah militan yang ditangkap di situ.

Ada yang menuduh Catalonia mengutamakan pendatang dari Afrika Utara berbanding Amerika Latin yang bercakap Bahasa Sepanyol bagi melindungi Bahasa Catalan- dakwaan yang ditolak kerajaan Catalan. – AFP, 21 Ogos, 2017.

 




 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen