PESTA Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) akan dianjurkan pada 6-10 September 2017 di Pusat Konvensyen Jakarta dan mensasarkan penglibatan 20 buah negara, lapor kompas.com.
“Sudah 15 buah negara sahkan kehadiran,” kata Ketua Jawatankuasa IIBF 2017 Husni Syawie di Senayan City, Jakarta pada Jumaat lepas.
Antara negara yang dijangka menyertainya adalah Malaysia, China, Jepun, Arab Saudi, Perancis dan Bosnia.
Selain bermatlamat menjadi pusat penghubung penjualan buku dan hak cipta, IIBF juga meletakkan sasaran untuk menjadi pusat reaksi dan promosi kesusasteraan melibatkan penerbit, penulis dan pembaca.
IIBF dianjurkan Badan Ekonomi Kreatif (Bekraf) yang berperanan untuk perkembangan industri kreatif Indonesia termasuk buku dan kesusasteraan.
Tahun lepas, kontroversi melanda IIBF selepas buku “Manifesto Komunis” terbitan penerbit Malaysia, Thukul Cetak dirampas polis Indonesia dan empat rakyat Malaysia ditahan untuk soal siasat. – 21 Ogos, 2017.
Komen