PAS memberi amaran untuk mengerah rakyat ke jalan raya sekali lagi jika kerajaan Pakatan Harapan masih berani untuk terus mempertahankan konvensyen ICERD.
Presidennnya Abdul Hadi Awang berkata, PH perlu sedar bahawa parti itu hanya berjaya menguasai kerajaan dengan majoriti mudah.
“(Jika) berani mereka bawalah ICERD ke Parlimen. Mentang-mentang mereka menang dengan majoriti mudah.
“Sekiranya kamu bawa ke Parlimen kami akan kerahkan rakyat ke jalan raya,” katanya dalam ucapan di hadapan kira-kira 50,000 orang di perhimpunan bantah ICERD di ibu negara.
“Adakah mereka yang mengundi Pakatan mengetahui bahawa kontrak sosial membentuk asas Perlembagaan Persekutuan.
“Ia menyatakan Islam itu adalah agama rasmi manakala agama lain bebas diamalkan dan hak orang Melayu tidak mengetepikan hak kaum lain. Tidakkah kontrak sosial kita lebih baik daripada ICERD,” katanya.
Hadi berkata Malaysia lebih bertamadun daripada Barat yang menyifatkan hak haiwan lebih tinggi daripada hak manusia.
Selain itu beliau berkata apabila Portugis menyerang Melaka pada kurun ke-16, hanya orang Islam yang menentang pencerobohan itu.
“Mereka tidak takut dengan senapang dan meriam penjajah. Mereka sanggup menentang dengan keris,” katanya.
Hadi mengakhiri ucapan ringkasnya dengan pepatah untuk memberi amaran kepada Pakatan jika mahu membangkitkan semula isu ICERD.
“Jangan membadai ombak dan terimalah akibat jika anda menjolok sarang tebuan,” katanya. – 8 Disember, 2018.
Komen