Perhimpunan untuk ganyang Pakatan, kata pemimpin Umno


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan (kiri) mengiring presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi ketika menyertai himpunan anti-ICERD di Dataran Merdeka hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Disember, 2018.

PERHIMPUNAN hari ini bukan sahaja untuk membantah ICERD tetapi juga untuk mengganyang Pakatan Harapan, kata timbalan presiden Umno Mohamad Hassan.

Sebab itulah PAS dan Umno bergabung sebagai gerakan Melayu dalam perhimpunan hari ini untuk merampas Putrajaya, katanya.

“Kita bukan sahaja tolak ICERD, kita tolak PH, kita ganyang PH, kita gasak PH. Kita duduk atas lori hari ini kerana kita kalah. 

“Untuk kembalikan maruah Melayu, Islam kita kena bersatu. Tiada formula lain selain orang Melayu bersatu. 

“Bila dua parti Melayu bersatu Umno dan PAS bekerjasama, saya ulangi Umno dan PAS kerjasama, kita boleh buat apa sahaja. PRU15 kita akan rampas semula Putrajaya,” katanya.

Beliau juga menyeru penyokong untuk mempertahankan maruah dan tidak berasa sedih walau parti itu tidak lagi berkuasa.

“Orang tak peduli maruah kita, orang hina agama kita kerana kita hilang kuasa. Maruah mesti kita jaga. Jatuh biar jatuh, misai jangan kena pasir.

“Biarpun kalah maruah Melayu dan Islam kita bela,” katanya.

Mohamad berucap di hadapan ribuan penyokong Umno dan PAS di perhimpunan anti-ICERD di ibu negara. – 8 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen