SERAMAI 500 orang anggota persatuan silat yang menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini tiada kaitan dengan demonstrasi di Dataran Merdeka, kata wakilnya.
Pengerusi seketariat gabungan silat pertahankan Perlembagaan (Pertahan) Sahruddin Esa, berkata, wakil dari 313 persatuan silat itu juga tidak akan menyertai perhimpunan berkenaan.
“Kami tidak menuju ke Dataran Merdeka. Kami tiada kaitan dengan penganjuran himpunan di sana, kami dengan cara kami. Ini simbolik kepada majoriti orang Melayu yang membantah ICERD,” kata Sahruddin.
Katanya, memorandum yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ini menyeru baginda bertiah agar agar tiada lagi perbahasan berkenaan ratifikasi ICERD dibangkitkan di Parlimen.
“Kita mahu tuanku bertitah supaya tak disebut lagi berkenaan ICERD di Parlimen,” katanya, kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum di pintu tiga Istana Negara, hari ini.
Memorandum berkenaan diterima seorang pegawai mewakili istana, Azuan Effendiy.
Terdahulu, kumpulan berkenaan berarak sejauh 2 kilometer dari Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta untuk menyerahkan memorandum terbabit.
Perhimpunan lebih besar di Dataran Merdeka hari ini dianjurkan NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dengan kerjasama PAS dan Umno.
Bekas perdana menteri Najib Razak dijangka akan berucap kepada para peserta di perhimpunan tersebut. – 8 Disember, 2018
Komen