OPERASI menyelamat sedang berjalan selepas kapal pemusnah milik Amerika Syarikat (AS) rosak akibat perlanggaran dengan kapal dagang di timur Singapura hari ini, kata pihak tentera AS, insiden kemalangan kedua yang melibatkan kapal perang Amerika dalam tempoh dua bulan.
Kapal pemusnah peluru berpandu USS John S. McCain bertembung kapal Alnic MC di timur Singapura, berhampiran Selat Melaka pada awal pagi, kata kenyataan itu.
“Laporan awal menunjukkan John S. McCain mengalami kerosakan pada bahagian hadapan. Usaha mencari dan menyelamat sedang dilakukan dengan koordinasi dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
“Tahap kerosakan dan kecederaan anggota sedang dikenal pasti. Insiden itu akan disiasat.”
Pihak tentera laut menambah kapal itu belayar menuju pelabuhan semasa kejadian berlaku.
Senator AS John McCain menulis dia dan isterinya “mendoakan kelasi Amerika di USS John S McCain malam ini - menghargai usaha mencari & menyelamat dilakukan kru”.
Operasi penyelamatan melibatkan bot, sebuah helikopter dan kapal pengawal pantai polis dan tentera, kata tentera laut.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 5.24 pagi (2124 GMT Ahad) semasa menuju ke pelabuhan di Singapura, katanya.
Kapal yang terlibat dalam perlanggaran itu ialah sebuah kapal tangki Liberia yang ditugaskan mengangkut minyak dan bahan kimia, dengan muatan 30,000 tan, menurut laman sesawang industri Marine Traffic.
Ia adalah perlanggaran kedua terbaru yang melibatkan kapal perang AS.
Pada 17 Jun, tujuh pelayar meninggal dunia ketika kapal pemusnah USS Fitzgerald bertembung dengan kapal kargo Filipina di saluran yang sibuk tidak jauh dari Yokosuka, pintu masuk ke pelabuhan kontena di Tokyo dan berdekatan Yokohama. – 21 Ogos, 2017.
Komen