KURANG tiga minggu lagi sambutan Krismas, masih belum ada tanda-tanda pusat membeli-belah CityOne di Kuching akan dibuka semula selepas insiden letupan pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, pengarah Kenbest Sdn Bhd iaitu syarikat yang memiliki pusat membeli belah itu, Stephen Long yakin ia akan beroperasi seperti biasa dalam tempoh beberapa hari lagi.
Pada mesyuarat pertama dengan penyewa, termasuk penyewa utama Metrojaya, Mydin dan pawagam Golden Screen petang ini, Long meminta mereka memahami situasi dan bersabar.
Menurutnya, bangunan berkenaan masih menjadi lokasi siasatan jenayah pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Long berkata, siasatan bagi mencari punca letupan oleh polis dan Jabatan Bomba masih belum lengkap, siasatan oleh pasukan jurutera struktur yang bertanggungjawab untuk meluluskan sama ada pusat membeli-belah berkenaan selamat untuk dibuka semula, sedang dijalankan.
Penyewa dibenarkan memasuki premis berkenaan untuk memeriksa kedai mereka pada pukul 2 petang hari ini.
Pada pukul 11 pagi tadi, jabatan kejuruteraan pusat membeli-belah berkenaan mengesahkan kesemua suis utama, sistem pengdingin hawa dan komponen elektrik berfungsi dengan baik.
“Kami meletakkan semua sumber kami sepanjan masa, dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mengembalikan operasi pusat membeli-belah itu,” kata Long kepada penyewa.
“Saya hanya minta penyewa, pemilik dan peniaga agar bersabar kerana keselamatan adalah paling utama. Oleh itu, segalanya harus dilakukan tanpa tergesa-gesa.”
Pengurusan pusat membeli-belah berkenaan menetapkan kawasan laluan masuk utama untuk pengunjung meninggalkan bunga atau ucapan takziah kepada mangsa yang terkorban serta 41 lagi mangsa yang cedera dalam insiden itu.
Letupan dari sebuah restoran makanan Korea di tingkat bawah yang sedang bersiap untuk pembukaan hari berikutnya menyebabkan dua kakitangannya terbunuh serta pekerja kontrak yang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian premis berkenaan.
Tiga mangsa yang terbunuh adalah Chin Hsien Loong, 29, dari Penang, O Kui Lim, 49, and Tchee Kiam Jong, 24, kedua-duanya berasal dari Kuching.
Kesemua mangsa terbunuh selepas dihempap dinding konkrit yang runtuh akibat letupan berkenaan.
Tiga mangsa yang cedera dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak.
Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Jamilah Hashim sebelum ini menyatakan, kecederaan yang dialami oleh mangsa insiden berkenaan adalah melecur, termasuk kecederaan melecur yang parah, kesukaran bernafas, patah tulang, serta luka akibat serpihan dari letupan berkenaan.
Polis menolak kemungkinan letupan itu ada kaitan dengan keganasan atau jenayah.
Kebocoran gas dari dapur restoran berkenaan disyaki menjadi punca letupan, yang dapat dirasakan sehingga jarak 500 meter.– 7 Disember, 2018
Komen