Masalah IT punca kelewatan bagasi 5 jam di KLIA 


Christopher Rabin

Penumpang terpaksa berdepan masalah kelewatan selama 5 jam berikutan masalah sistem IT.– Gambar The Malaysian Insight, 7 Disember, 2018

MASALAH sistem Teknologi Maklumat (IT) membawa kepada kelewatan bagasi selama lima jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam, kata Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB).

MAHB dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya berkata, suis bagi tali sawat roller tidak berfungsi pada pukul 6.45 petang semalam kerana masalah teknikal. 

Masalah itu menyebabkan sistem berhenti menghantar bagasi ke penerbangan yang dijadualkan, sekali gus menyebabkan lima penerbangan Malindo Air ditunda. 

Bagaimanapun tindakan pantas pihak MAHB menyelesaikan masalah itu dengan menggunakan roller alternatif, yang biasanya digunakan untuk bagasi bersaiz besar, menurut kenyataan itu. 

“Mereka menggunakan tenaga manusia untuk menghantar bagasi ke tali sawat lain sementara isu berkenaan diselesaikan oleh jabatan IT.”

Menurut syarikat itu, masalah berkenaan diselesaikan selepas lebih sejam, namun oleh kerana kelewatan memindahkan bagasi ke tali sawat roller biasa, rutin penundaan ditangguhkan. 

“Masalah teknikal itu diselesaikan pada pukul 8 malam, tetapi kelewatan bagasi hanya diselesaikan pada pukul 12.25 pagi ini,” menurut kenyataan itu. 

MAHB turut memberi peringatan masalah berkenaan mungkin berlaku lagi, dan memaklumkan penumpang mereka akan dimaklumkan sekiranya terdapat perubahan pada jadual penerbangan mereka. – 7 Disember, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen