DBKL tak akan 'ambil alih' projek Taman Rimba Kiara


Raevathi Supramaniam

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, kos pembatalan projek pembangunan di Taman Rimba Kiara boleh mencecah RM3 bilion, angka yang tidak mampu ditanggung DBKL. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 Disember, 2018.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan membeli projek Taman Rimba Kiara (TRK) kerana kosnya terlalu mahal, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Tegas beliau, kesan daripada pembatalan projek tersebut bukan hanya terhad kepada kerugian RM155 juta yang ditanggung pemaju, malah DBKL juga terpaksa membayar pampasan yang tinggi.

“Pembatalan projek itu akan termasuk faedah, kos-kos lain dan kerugian kepada pemaju. Kerugian bagi projek pembangunan bernilai RM3 bilion ini agak besar,” Khalid memberitahu The Malaysian Insight.

“Pemaju tak peduli. Mereka akan dapat semula duit mereka dan beberapa keuntungan dalam pelaburan. Jadi, ia bukan menjejaskan pemaju, tetapi DBKL.

“Contohnya, kita jual tanah pada harga RM100 juta, kemudian beli balik pada RM150 juta, kita akan rugi.”

Penduduk Taman Tun Dr Islamil di Kuala Lumpur membantah projek TRK yang dicadangkan kerana bimbang akan menjejaskan taman hijau terakhir di kawasan tersebut.

Projek yang dicadangkan itu - projek usahasama antara Memang Perkasa dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) - merangkumi lapan blok pangsapuri mewah yang mempunyai antara 42 dan 54 tingkat dan 1,800 unit.

Juga termasuk ialah bangunan 29 tingkat pangsapuri mampu milik dengan 200 unit dikhaskan untuk penempatan semula penduduk rumah panjang.

Penduduk setempat mahukan projek pembangunan di kawasan hijau ibu kota dibatalkan, tetapi kos pembatalan terlalu mahal untuk ditanggung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2018.

Pada 2016, DBKL meluluskan projek pembangunan perumahan berkenaan di atas tanah seluas 4.86 hektar Taman Rimba Kiara, yang dikhususkan sebagai ruang awam di bawah Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020.

Persatuan Penduduk TTDI telah membawa perkara itu ke mahkamah, bagaimanapun permohonan semakan kehakiman yang dipohon ditolak pada minggu lepas. Mahkamah memutuskan perintah pembangunan projek itu sah.

Membatalkan projek itu kata Khalid juga bermakna penduduk rumah panjang Taman Rimba Kiara tidak akan mendapat rumah seperti yang telah dijanjikan kepada mereka sejak pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Katalah pemaju keluar dan kami bayar pampasan, kita masih ada masalah dengan penduduk rumah panjang. Kita kena bina sekurang-kurangnya 200 rumah atau pangsapuri untuk mereka. Dan bukan rumah kos rendah,” tambah beliau.

“Ini akan menelan belanja minimum RM30-RM40 juta, itu anggaran saya sendiri. Duit ini juga perlu datang dari DBKL juga.”

Di bawah kerajaan BN, penduduk rumah panjang dijanjikan rumah mampu milik pada harga RM300,000 seunit. Penduduk rumah panjang generasi kedua diberitahu yang mereka akan mendapat rumah 50% daripada harga pasaran.

“Setiap keluarga akan menerima pampasan RM450,000 jika rumah yang dijanjikan kepada mereka itu tidak dibina. Saya tak boleh beri DBKL duit macam tu sahaja,” kata Khalid.

Timbul juga persoalan pihak manakah perlu membina rumah baharu kepada penduduk rumah panjang di TTDI sekiranya projek pembangunan kawasan itu dibatalkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2018.

Tambah beliau, jika DBKL membatalkan semua projek pembangunan yang tidak dipersetujui rakyat, ia perlu membayar pampasan melibatkan berbilion ringgit. Ini katanya, tidak adil kepada penduduk Kuala Lumpur.

Khalid berkata beliau tidak menang tangan memenuhi kepentingan pelbagai pihak, terutamanya penduduk TTDI, pemaju, penduduk rumah panjang dan DBKL.

“Penduduk TTDI mahukan taman hijau mereka dan saya cuba sedaya upaya mendapatkannya semula.

“Saya juga mempertimbangkan kepentingan pemaju yang telah melaburkan duit. Mereka mahukan keuntungan mereka. Saya cuba untuk berunding dengan mereka supaya kami tak disaman.

“Begitu juga dengan penduduk rumah panjang, mereka perlukan rumah yang ditunggu sejak 36 tahun. Sudah tiga generasi duduk di situ sekarang, di rumah kayu. Kena adil kepada mereka juga,” kata menteri itu.

Khalid berkata keutamaannya ialah untuk melindungi DBKL dan memastikan ia tidak rugi.

“Saya tak fikir, hanya kerana mahu popular, saya boleh beri apa yang semua orang mahukan. Itu menjadikan saya tidak bertanggungjawab,” katanya. – 7 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen