.jpg)
ISU dana pendidikan bukanlah baru. Ia bukan hanya isu di Malaysia tetapi dirasakan di seluruh dunia.
Pada 2017, purata hutang pelajar di Amerika Syarikat (AS) direkodkan kira-kira AS$37,000 manakala di United Kingdom pula sebanyak AS$55,000 dolar. Bahkan di Sweden, di mana yuran dikecualikan, purata hutang pelajar pada kadar AS$22,000. Jelas, tidak ada model yang mudah untuk mendanai pendidikan.
Di negara kita, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan pada 1997 dengan objektif untuk menguruskan pinjaman bagi pendidikan tinggi dan mengutip bayaran balik pinjaman; menyediakan skim pinjaman dan mengurus deposit untuk tujuan pendidikan tinggi serta melaksanakan apa-apa fungsi lain yang diberikan kepada PTPTN oleh mana-mana undang-undang bertulis.
Sejak 20 tahun penubuhannya, PTPTN telah mengeluarkan pinjaman berjumlah lebih RM54 billion. Dan beberapa bulan lalu dinyatakan jumlah hutang PTPTN yang belum dibayar kini sudah mencecah kira-kira RM39 billion.Setakat ini kira-kira 23.8% peminjam telah menyelesaikan sepenuhnya bayaran ini dan 24% peminjam pula konsisten membuat pembayaran pinjaman. Selain itu, 33% peminjam membayar secara tidak konsisten dan 19.1% pula tidak membayar walau sesen pun.
Dana pendidikan
Sebelum PRU13, saya menulis artikel yang membincangkan tentang isu seputar PTPTN. Ketika itu, ada kempen meluas tentang pendidikan percuma. Saya menekankan bahawa yang dimaksudkan percuma itu maksudnya dibayar oleh pihak lain dan mempersoalkan rancangan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas khususnya daripada Petronas.
Saya sebenarnya bersikap terbuka. Meskipun tidak meyakini kelestarian pendidikan percuma dalam konteks belanjawan negara, saya tidak menolak fakta bahawa sesetengah negara ada menyediakan pendidikan percuma dalam maksud tidak ada yuran pengajian dikenakan.
Dalam perbahasan usul menyokong titah Yang Di-Pertuan Agong semasa pembukaan sidang Dewan Rakyat pada Ogos lalu, saya ada menyentuh mengenai dana pendidikan.
Pada hemat saya, pendidikan percuma boleh dilaksanakan sekiranya kita sedia mengekalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Pada kadar semasa, 1% kutipan GST ialah kira-kira RM6 billion. Ia lebih daripada cukup untuk menampung pendidikan percuma.
Bahkan, kita tidak perlu lagi memikirkan soal bayaran balik pinjaman kerana peminjam pasti tidak terlepas daripada membayar GST (yang kemudian menyumbang semula ke dalam dana pendidikan ini).
Memang, pengekalan GST boleh menimbulkan kemarahan ramai, tetapi sekiranya kerajaan dapat menunjukkan pulangan manfaat yang tepat daripada kutipan hasil ini, saya fikir rakyat akan memahami fungsi sebenar cukai ini. Konteks cadangan saya tentang pengekalan GST ini sebenarnya lebih besar tetapi cukuplah saya hanya menulis apa yang terkait dengan dana pendidikan.
Pertikaian
Dalam beberapa forum yang saya hadiri di IPTA (setakat ini di UKM, UM dan UPSI), isu PTPTN tidak terlepas daripada menjadi perkara yang dipersoalkan oleh mahasiswa. Secara peribadi, saya mengalukan kritikan-kritikan yang disampaikan oleh mereka.
Namun, pada masa yang sama saya mengajak mereka meletakkan diri di kedudukan lebih tinggi – bukan sekadar menuntut pendidikan percuma atau pendekatan tertentu, tetapi mengemukakan alternatif kepada dasar sedia ada.
Mahasiswa harus sedar, dengan pertambahan penduduk pada masa akan datang, jumlah tanggungan mereka akan lebih tinggi. Merekalah yang akan membayar cukai pada masa akan datang. Data-data pergerakan gaji, simpanan pencen dan tanggungan kerajaan menuntut kita berfikir lebih serius untuk menangani pelbagai cabaran yang ada dan akan datang.
Sudah tentu, ini bukanlah satu pengalihan. Kerajaan tetap bertanggungjawab memikirkan dan melaksanakan dasar terbaik bagi menangani kemelut ini. Pada masa sama, mahasiswa juga tidak seharusnya hanya berpuas hati dengan aksi wira yang ditonjolkan dalam kecaman terhadap kerajaan. Kekuatan pandangan alternatif mahasiswa ini sebenarnya lebih berkesan berbanding kecaman.
Pertikaian terhadap dasar bayaran semula PTPTN kali ini bukanlah tanpa asas. Bila melihat data semasa, saya faham mengapa PTPTN tidak dapat melaksanakan hasrat yang diusulkan dalam manifesto Pakatan Harapan – bayaran balik bermula daripada pendapatan RM4,000.
Daripada data KWSP, Jabatan Akauntan Negara, LHDN, Urusan Gaji Angkatan Tentera, KWAP dan Perkhidmatan Awam, direkodkan bahawa peminjam berpendapatan di atas RM4,000 berjumlah 20%, manakala peminjam berpendapatan antara RM2,000 ke RM3,999 pula 26.5%.
Peminjam yang berpendapatan di bawah RM2,000 pula sebanyak 15.9% dan peminjam yang tidak dapat dikesan dalam kelima-lima agensi ini berjumlah 37.6%, justeru itu tidak dapat diketahui jumlah pendapatan sebenar mereka.
Pada masa yang sama, saya berharap PTPTN dapat mempertimbangkan realiti 80% pekerja di bandar tidak dapat membuat simpanan, bahkan kita tahu penerima bantuan tunai di bawah pentadbiran lalu mencecah 4.7 isi rumah dan 2 juta individu.
Dengan kadar kutipan yang tinggi pula, ia pastinya akan menekan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi yang sudah pun dikenakan cukai pendapatan – penyumbang utama belanjawan negara.
Penyelesaian sementara
PTPTN seharusnya menumpukan keutamaan mereka kepada:
- peminjam yang tidak pernah membayar sesen pun,
- peminjam yang tidak dapat dikesan maklumat pendapatan mereka dan
- berbincang pelan pembayaran terbaik bagi peminjam yang tidak dapat membayar secara konsisten.
PTPTN tidak wajar menghukum mereka yang konsisten membayar mengikut perjanjian. Apa yang sepatutnya dibuat ialah mengekalkan insentif pembayaran penuh sebagaimana pernah dibuat pentadbiran lalu.
Di samping itu, PTPTN wajar mengambil sedikit masa untuk berbincang dengan kerajaan bagi mendapatkan suntikan dana bagi tempoh sederhana sementara formula baru pendanaan pendidikan dapat dibentuk melalui proses rundingan yang lebih meluas.
Kita boleh menyalahkan Barisan Nasional dalam isu PTPTN ini – daripada masalah struktur kewangan dan realiti sebenar pendapatan rakyat – namun eloklah kita mengusahakan sesuatu yang berbeza, dengan jujur, berani dan bijaksana. – 6 Disember, 2018.
* Noor Amin Ahmad adalah ahli Parlimen Kangar dan ahli jawatankuasa pemandu Jaringan Ahli Parlimen Muda Bank Dunia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen