TIGA tentera Lubnan terbunuh selepas periuk api meletup di bawah kenderaan yang dinaiki mereka di timur negara berhampiran sempadan Syria, kata tentera dalam satu kenyataan.
Tentera terbabit dalam perjalanan untuk menyertai operasi yang bermula Sabtu bagi mengusir militan IS di kawasan utara sempadan, kata sumber tentera itu kepada AFP.
“Kenderaan tentera melanggar periuk api di jalan pusingan Al-Najsa di Jurud Arsal menyebabkan tiga anggota maut dan seorang lagi cedera parah,” menurut tentera dalam satu kenyataan.
Tentera yang cedera dibawa keluar daripada lokasi itu bagi mendapatkan rawatan di hospital.
Insiden itu berlaku sehari selepas tentera memulakan operasi terhadap IS di kawasan Jurud Ras Baalbek dan Jurud al-Qaa, utara sempadan Lubnan-Syria.
Pihak tentera berkata setakat Sabtu, kira-kira 30 kilometer persegi berjaya ditawan daripada 120 kilometer persegi yang dipercayai dikuasai militan IS.
Jurucakap tentera itu berkata, pada Sabtu 20 anggota militan IS dibunuh dalam pertempuran setakat ini dan 10 tentera Lubnan cedera.
Pihak tentera menganggarkan sekitar 600 militan IS berada di kawasan yang cuba ditawan. – AFP, 20 Ogos, 2017.
Komen