Tangguh segera potong gaji peminjam PTPTN, kata wakil rakyat DAP


Edry Faizal Yusof Edry antara wakil rakyat DAP yang terkejut dengan tindakan tegas PTPTN memotong bayaran peminjam.

WAKIL rakyat DAP terkejut kerana peminjam Perbadangan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini terpaksa menanggung potongan gaji tinggi walau membuat bayaran konsisten selama ini.

Adun muda DAP, Edry Faizal Eddy Yusof (Dusun Tua), Young Syefura Othman (Ketari) dan Lim Yi Wei (Kampung Tunku) itu berkata dasar baharu itu tidak adil dan membebankan peminjam.

“Kami menyeru pertimbangan wajar dari pengerusi PTPTN untuk mengambil langkah segera untuk menangguhkan skim ini dan berbincang dengan pemegang taruh sebelum mengumumkan polisi baru yang lebih adil.”

Wakil rakyat ini kecewa kerana PTPTN tidak mengambil kira komitmen lain peminjam antaranya seperti potongan KWSP, pinjaman perumahan, pinjaman kereta dan kos pendidikan anak-anak.

“Tambahan pula, kebanyakan mereka yang mendapat gaji sebanyak RM5,000 ke atas mempunyai keluarga yang perlu diambil kira dalam menetapkan kadar optimum pembayaran semula PTPTN.

“Perlu diingatkan bahawa kebanyakan peminjam ini adalah mereka yang tinggal di bandar dan berada dalam kumpulan M40.

“Mereka ini adalah golongan yang tidak mendapat subsidi bersasar dan pada masa yang sama terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi,” kenyataan itu dipetik.

Manifesto Pakatan Harapan menjanjikan untuk menangguhkan bayaran PTPTN bagi golongan berpendapatan RM4,000 ke bawah.

Namun kini golongan berpendapatan RM4,000 ke bawah itu bukan sahaja diwajibkan membayar tetapi juga terpaksa membayar dengan kadar lebih tinggi, kata wakil rakyat ini.

“Kita memahami kewangan semasa negara dan hutang yang tinggi ditanggung oleh PTPTN, namun ia bukan alasan untuk mereka dipaksa membayar lebih.

“Hal ini jelas bercanggah dengan manifesto asal PH yang mahu memastikan pembayaran balik dilunaskan tanpa menzalimi peminjam.

“Sekiranya kita tidak mampu melaksanakan janji PTPTN seperti di dalam manifesto, sekurang-kurangnya kita mestilah berpegang kepada semangat dan tujuan janji kita.” – 6 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen