JUALAN murah kasut sekolah berwarna putih oleh syarikat pengeluar kasut Bata merupakan acara penghabisan stok dan tidak ada kaitan dengan pelaksanaan pemakaian kasut hitam bermula tahun depan, kata syarikat itu.
Gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan kasut sekolah putih dijual dengan harga RM5 sepasang di gudang Bata di Klang, mencetuskan spekulasi bahawa syarikat itu terdesak untuk menghabiskan stok sebelum sesi persekolahan bermula tahun depan.
Bagaimanapun Ketua Unit Perniagaan Korporat Bata James Selvaraj berkata jualan gudang itu merupakan acara tahunan dan bertujuan menghabiskan stok lama semua kasut.
“Kasut itu merupakan stok lama dan menjadi kekuningan kerana kasut putih mempunyai tempoh hayat yang singkat.
“Kasut-kasut ini berusia kira-kira setahun dan apabila ia menjadi kekuningan, kita tidak boleh jual dengan harga biasa dan perlu menjualnya dengan harga jualan penghabisan stok,” kata James kepada The Malaysian Insight.
Kementerian Pendidikan baru-baru ini mengumumkan bahawa pelajar sekolah perlu memakai kasut dan stokin hitam berdasarkan polisi baharu yang akan dikuatkuasakan secara berperingkat bermula tahun depan.
Dasar itu akan berkuatkuasa sepenuhnya pada 2021.
Jualan tahunan Bata bermula sejak 23 November lalu dan akan berakhir pada 6 Januari. James berkata sambutan terhadap jualan itu amat memberangsangkan.
Beliau mengingatkan ibu bapa bahawa mereka masih mempunyai pilihan untuk membeli kasut putih bagi anak-anak mereka.
Katanya kasut putih baharu dijual dengan diskaun 10% hingga 20% bergantung kepada keadaan kasut tersebut.
“Masalah yang timbul adalah ibu bapa keliru sama ada mahu membeli kasut putih atau hitam,” katanya.
James berkata ibu bapa tidak perlu membuang kasut putih anak-anak mereka kerana ia masoh boleh digunakan sehingga 2021.
“Semua pihak perlu mengikuti pekeliling kerajaan bahawa penggunaan kasut hitam akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2021.
“Ini bermakna kasut dan stokin putih masih boleh digunakan pada tahun depan dan tahun 2020,” katanya.
Komen