Tentera Iraq lancar serangan rampas semula Tal Afar


Tentera Iraq berkawal ketika orang awam cuba mencari tempat selamat berikutan pertempuran pasukan tentera dengan militan IS.– Gambar EPA, 20 Ogos, 2017.

TENTERA Iraq pada Ahad melancarkan serangan bagi merampas semula bandar utara Tal Afar daripada militan IS, selepas mengusir kumpulan itu di Mosul bulan lalu.

Tal Afar terletak sekitar 70 kilometer (45 batu) daripada barat bandar kedua Mosul yang dirampas semula pasukan tentera Iraq pada awal Julai dalam serangan besar-besaran terhadap IS.

Perdana Menterinya Haider al-Abadi yang berpakaian uniform tentera dan berdiri di hadapan bendera Iraq mengumumkan “operasi untuk membebaskan Tal Afar bermula.”

“Saya beri amaran kepada IS sama ada keluar atau dibunuh. Kita telah memenangi semua peperangan dan IS sentiasa tewas,” katanya.

Beberapa jam selepas memulakan operasi itu, polis persekutuan negara itu berkata pihaknya berjaya menawan semula perkampungan Al-Abra al-Sghira di barat Tal Afar.

Militan IS menawan Tal Afar pada Jun 2014 yang terletak di tengah-tengah antara Mosul dan Syria.

Ketika itu, penduduknya berjumlah 200,000 namun kini menurut pihak berkuasa tempatan adalah mustahil untuk mengetahui jumlah sebenar yang masih tinggal di bandar itu.

Pihak berkuasa mendakwa dianggarkan dalam 1,000 anggota militan IS di bandar itu menjadikan orang awam sebagai perisai manusia semasa serangan udara Iraq dan AS awal minggu ini dalam persiapan untuk serangan darat. – AFP, 20 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen