Pindaan laporan audit 1MDB, Madinah pertahan kenyataan


Asila Jalil

Ketua Audit Negara Dr Madinah Mohamad memberikan keterangan mengenai laporan 1MDB kepada PAC di Parlimen hari ini, sesi itu berjalan selama tiga jam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Disember, 2018.

KETUA Audit Negara Dr Madinah Mohamad mempertahankan kenyataannya bahawa wujud pindaan dibuat ke atas laporan audit 1MDb ketika prosiding siasatan skandal dana pelaburan negara itu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Ronald Kiandee berkata kenyataan Madinah hari ini selari dengan yang dibuatnya bulan lepas.

“Saya tak boleh kongsi bukti tetapi sudah tentu awak boleh agak yang Tan Sri Madinah bercakap tentang kenyataan media yang dibuatnya dan kenyataan yang diberi hari ini selari dengan kenyataannya sebelum ini,” katanya kepada wartawan selepas prosiding itu.

Dalam kenyataan dikeluarkan bulan lepas, Madinah mengesahkan yang bekas perdana menteri Najib Razak memanggil bekas ketua audit negara Ambrin Buang pada 22 Februari 2016 dan mengarahkan beberapa bahagian dalam laporan audit 1MDB dikeluarkan.

Katanya, perenggan dalam laporan asal menyebut tentang kehadiran ahli perniagaan yang jadi buruan Low Take Jho dalam mesyuarat lembaga pengarah dikeluarkan daripada laporan akhir audit 1MDB.

Tindakan itu, dakwa Madinah, adalah kerana arahan setiausaha sulit Najib, Shukri Mohd Salleh atas alasan ia menyentuh isu sensitif dan untuk menghalang dimanipulasikan pembangkang.

Sesi Madinah bermula jam 3 petang dan berakhir tiga jam selepas itu.

Kiandee berkata prosiding itu berjalan dengan baik dan banyak kenyataan diperolehi daripada Madinah. Tambahnya, Madinah tidak akan dipanggil lagi untuk memberi keterangan.

Bekas ketua pengarah Sektor Audit Kerajaan Saadatul Nafisah akan memberi keterangan esok kepada PAC.

Sementara itu, Madinah berkata beliau sudah memberikan keterangan kepada jawatankuasa dan terpulang kepada PAC untuk menyiasat dakwaan pindaan ke atas laporan audit itu.

Tambahnya, beliau juga sudah menyerahkan salinan laporan asal yang belum dipinda kepada PAC.

“Kami dah beri. Ya, kami dah bagi,” katanya menambah yang beliau tidak mengetahui mengenai keterangan dibuat Ambrin semalam.

Apabila ditanya sama ada benar beliau menerima arahan daripada Najib untuk membuat pindaan itu, Madinah berkata beliau sudah menjelaskan kepada PAC tentang perkara itu dan kini terpulang kepada pengerusi PAC untuk mendedahkannya kepada rakyat. – 5 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen