Korea Utara beri amaran terhadap latihan ketenteraan AS, Korea Selatan


KOREA Utara pada Ahad memberi amaran bahawa tindakan Amerika Syarikat mengadakan latihan ketenteraan dengan Korea Selatan umpama “mencurah minyak ke dalam api” berikutan ketegangan antara Pyongyang dan Washington.

Perang retorik antara dua negara itu tercetus selepas Pyongyang melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) bulan lalu yang mampu mencapai negara AS, membuatkan Presiden Donald Trump memberi amaran Washington mampu memberi “api dan kemusnahan” terhadap Korea Utara.

Pyongyang kemudiannya mengancam akan melancarkan peluru berpandu ke wilayah AS di Guam – yang kemudiannya ditangguhkan Kim Jong-Un minggu lalu namun memberi amaran akan meneruskan serangan bergantung kepada tindak tanduk Washington.

Di tengah-tengah ketegangan itu, Seoul dan Washington akan memulakan latihan ketenteraan “Ulchi Freedom Guardian” membabitkan puluhan ribu tentera yang disifatkan Pyongyang sebagai provokatif melampau untuk penaklukan.

“Latihan bersama itu merupakan ungkapan jelas permusuhan terhadap kita dan tiada siapa boleh menjamin latihan itu tidak akan membabitkan peperangan sebenar,” menurut satu artikel yang diterbitkan media Korea Utara akhbar Rodong Sinmun.

“Latihan ketenteraan Ulchi Freedom Guardian adalah umpama mencurahkan minyak ke dalam api dan akan memburukkan lagi keadaan di semenanjung,” menurut akhbar itu.

Jumlah anggota tentera yang terlibat dalam kerjasama latihan itu adalah seramai 17,500 orang pada tahun ini, iaitu kurang berbanding tahun lepas menurut angka yang diberikan kementerian pertahanan Seoul.

Namun agensi berita Korea Selatan Yonhap melaporkan sekutu negara itu dijangka membatalkan pelan asal untuk membawa dua kapal pengangkut pesawat ke semenanjung itu untuk mengambil bahagian dalam latihan terbabit.

Pegawai kanan tentera Korea Selatan berkata, situasi terkini di semenanjung Korea lebih serius berbanding waktu lain berikutan ancaman peluru berpandu dan nuklear Korea Utara yang semakin memuncak, dan turut memberi amaran kepada Pyongyang akan membalas sebarang serangan.

“Sekiranya musuh membuat provokasi, (tentera kami) akan menyerang balas dengan tegas bagi menjadikan tindakan musuh itu satu penyesalan,” kata Ketua Turus Tentera Jeong Kyeong-Doo. – AFP, 20 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen